AGENSI kerajaan dan swasta perlu menerima dan melaksanakan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 supaya ia tidak hanya sekadar atas kertas, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH).
Ketua Pegawai Eksekutif MAH Yap Lip Seng berkata Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian perlu diberikan autonomi mencukupi bagi memastikan objektif dasar itu dapat dicapai dalam rangka masa ditetapkan.
“Industri pelancongan adalah sektor yang rumit membabitkan pelbagai pihak berkepentingan, awam dan swasta, dan sering bidang kuasa bertindih dengan agensi kerajaan lain dengan keutamaan bercanggah,” katanya.
“Dasar Pelancongan Negara perlu diutamakan kerana ia relevan dan berkesan. Contoh jelas diperlukan untuk memacu ketibaan pelancong antarabangsa berbanding kawalan imigresen.”
Yap berkata kerajaan perlu sedar syarat imigresen lebih longgar akan merangsang jumlah kemasukan pelancong.
Katanya, memang perlu ada kebimbangan imigrsen tetapi ia perlu dilihat sebagai isu penguatkuasaan, bukannya alasan untuk menguatkuasakan larangan kemasukan.
Dasar baharu itu sepatutnya menjadi sumber kuasa untuk bertindak dan serta merta sebelum Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara jiran, katanya.
Yap berkata pihak berkepentingan dalam sektor swasta mahu kuasa yang lebih dalam mengetuai teras strategik dasar itu.
Ini kerana pihak berkepentingan berkenaan yang turun padang dan ada akses langsung dengan penganalisis industri dan trend pasaran yang tidak boleh dipandang ringan, katanya.
Yap berkata industri pelancongan yang mempunyai kira-kira 3.6 juta pekerja dan memberi sumbangan penting kepada pertumbuhan ekonomi, perlu dilindungi supaya ia tidak runtuh.
“Industri ini merayu sekali lagi untuk bantuan kerana situasi tidak berubah baik. Industri ini perlu subsidi gaji lebih tinggi, diskaun bagi utiliti selain dikecualikan untuk yuran, lesen dan permit,” katanya.
Sebanyak 90 hotel berhenti operasi secara kekal atau sementara, menjejaskan 7,000 pekerja sejak perintah kawalan pergerakan bermula pada Mac.
Seramai 12,000 lagi diberhentikan kerja sementara ada kalangan pekerja dipotong gaji atau dicutikan tanpa gaji.
Banyak agensi dan operator pelancongan turut ditutup.
Yap berkata industri itu berdepan kehilangan lebih banyak kapasiti pelancongan yang akan memerlukan kos tinggi untuk dibangunkan semula.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan dasar 10 tahun itu.
Ia bermatlamat untuk memastikan kelangsungan industri pelancongan negara selain mengembalikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Muhyiddin berkata dasar itu akan dilaksanakan menerusi enam teras strategik utama, termasuk transformasi tadbir urus dan penciptaan zon pelaburan pelancongan. – 23 Disember, 2020.
Komen