PM Thailand salahkan pekerja migran di pasar cetus wabak Covid-19


Pekerja migran diperiksa oleh petugas kesihatan di pasar Bangkok, Thailand, bagi mengekang penyebaran Covid-19. – Gambar EPA, 23 Disember, 2020.

PERDANA Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha menyalahkan wabak koronavirus yang dikaitkan dengan pasar makanan laut terbesar di negara itu kepada pekerja migran.

Thailand berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak Khamis apabila penjual udang berusia 67 tahun dari pasar Mahachai didapati positif koronavirus.

Pengesanan kontak dan ujian besar-besaran mendapati lebih 800 kes setakat ini dan merupakan  wabak besar bagi negara yang sebelum ini hanya mempunyai 4.000 jangkitan yang disahkan.

Sebilangan besar kes baharu melibatkan pekerja Myanmar, yang bekerja di bot udang dan kilang memproses berkaitan dengan industri makanan laut Thailand.

Pada Isnin, Prayut menyalahkan kilang yang mengupah pekerja asing tanpa izin, yang didakwanya masuk melalui sempadan Myanmar-Thailand secara haram

“Mereka menyelinap keluar dan masuk kembali,” katanya.

Thailand berkongsi sempadan sepanjang 2,400km dengan Myanmar - yang mengalami lonjakan membimbangkan sejak Ogos dan masih mencatatkan sekitar 1,000 kes baharu sehari.

“Saya sudah memberitahu pihak berkuasa bahawa mesti ada sistem untuk mengesan pekerja,” katanya, sambil menambah beliah berharap keadaan akan bertambah baik dalam seminggu.

Pegawai kesihatan berkata kadar jangkitan di pasar Mahachai adalah “sekitar 42%”.

Pasar dan sekitarnya ditutup sejak Sabtu dengan ribuan penduduk di sana dilarang pergi.

Pada Isnin, pasar dipasang kawat berduri dan pihak berkuasa mengedarkan makanan kepada pekerja yang dikuarantin di dalamnya.

Pengangkut udang warga Myanmar, Min Min Tun berkata tindakan itu tidak adil dan berat sebelah kerana rakyat Thailand menyalahkan mereka tanpa bukti.

Beliau berkata tiada maklumat diberikan mengenai siapa yang diuji positif, menyebabkan ketakutan dalam komuniti pekerja.

“Kami semua boleh dijangkiti kerana tidak mempunyai maklumat siapa yang harus dielakkan dan kawasan mana perlu dielakkan,” katanya.

Ekonomi Thailand sangat bergantung kepada juataan pekerja dengan gaji rendah dari negara jiran Myanmar dan Kemboja yang menghidupkan sektor makanan laut, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan kerajaan.

Bagaimanapun, tenaga kerja migran menghadapi diskriminasi dan wabak tersebut menyebabkan sentimen anti-Myanmar di kalangan rakyat Thai - termasuk mereka yang tinggal dan bekerja di kalangan komuniti Myanmar di Mahachai.

“Saya tidak akan menghampiri mereka walau dalam apa juga keadaan,” kata penjual makanan Maneerat Jekpan yang bekerja di luar pasar, dan mengakui beliau “anti-Burma”.

Walaupun marah, beliau masih membawa makanan kepada pekerja yang dikuarantin kerana bimbang mereka tidak makanan untuk dimakan. – AFP, 23 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen