Pendaftar perkahwinan bergelut urus permohonan tertangguh


Angie Tan

Pandemik menyebabkan banyak rancangan perkahwinan terpaksa dibatalkan dan proses mengaturnya semula memakan masa yang lama. – Gambar EPA, 23 Disember, 2020.

IA sepatutnya menjadi tahun istimewa bagi pasangan melangsungkan perkahwinan apatah lagi dengan tahun lompat dan fenomena jarang berlaku yang menyaksikan perayaan musim bunga muncul dua kali dalam kalendar Cina, sehinggalah segalanya musnah dek Covid-19.

Pandemik menyebabkan banyak banyak rancangan perkahwinan terpaksa dibatalkan, dengan “tarikh elok” terpaksa dilupakan susulan perintah kawalan pergerakan serta prosedur operasi standard (SOP) ketat dikenakan kerajaan.

Walaupun kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan awal bulan ini, pasangan yang ingin berkahwin tidak dapat mengatur semula perkahwinan mereka dengan segera kerana ia memerlukan masa antara dua atau tiga bulan.

The Malaysian Insight difahamkan senarai menunggu yang ada sekarang adalah panjang, dengan banyak pasangan berusaha keras mencari pendaftar untuk menerima dan mengesahkan perkahwinan mereka.

Jabatan Pendaftaran Perkahwinan Persatuan Hokkien Klang berkata pihaknya berhenti menerima pendaftaran baharu dan pasangan perlu pergi ke tempat lain untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.

Seorang pegawai daripada jabatan itu, Ng Chim Poh, berkata mereka kini mempunyai 170 pendaftaran yang menunggu untuk diproses.

“Mereka (pasangan) pada awalnya merancang mendaftar pada 10 Oktober, tetapi kemudian perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilaksanakan semula (pada 8 Oktober) dan ia terpaksa ditangguhkan hingga sekarang,” kata Ng.

Perkhidmatan pendaftaran kini disambung semula, tetapi dengan pelaksanaan SOP, pusat pendaftaran hanya terhad dibuka kepada lima pasangan setiap hari dan persatuan harus mengutamakan pendaftaran yang diserahkan lebih awal.

“Secara puratanya, kami hanya boleh memproses sekitar 15 pendaftaran seminggu. Bagi 170 permohonan yang diterima, kami menganggarkan ia memerlukan sekitar dua bulan untuk memproses semuanya.

“Tetapi jika ada pasangan baharu yang melamar dengan alasan khusus, kami akan memberi mereka keutamaan,” katanya.

Ng juga berkata Jabatan Pendaftaran Negara hanya akan mengeluarkan borang pendaftaran perkahwinan baharu selepas lima permohonan sehari diproses.

Sementara itu, beliau berkata persatuan pendaftaran perkahwinan untuk agama lain juga menghadapi masalah yang sama kerana SOP.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Buddha Shah Alam, Chum Let Onn berkata organisasi itu baru sahaja memulakan operasi bulan ini dan setakat ini terdapat kira-kira 50 pendaftaran.

“Kita perlu mengikuti SOP. Hanya selepas pasangan melengkapkan pendaftaran dan keluar dari premis, barulah pasangan seterusnya boleh masuk.

“Tambahan pula, pertubuhan Buddha ketika ini sedang melakukan beberapa kerja pembinaan, jadi pendaftaran terhad pada hari minggu sahaja.

“Pendaftaran tidak dapat diproses dengan cepat kerana jumlah orang yang terhad, dan sudah hujung tahun. Oleh itu, banyak pasangan menangguhkan perkahwinan mereka ke tahun depan,” katanya. – 23 Disember, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen