KOBOI Bajau, Tamu Besar dan impian jadi pengeluar utama beras negara adalah antara hal-hal yang jadi kebanggaan penduduk daerah Kota Belud di Sabah.
Tetapi sejak beberapa tahun lalu, banjir yang berulang kali hampir menenggelamkan mimpi itu, dan sebaliknya mengapungkan kebimbangan yang lain.
Banjir bukan lagi asing bagi penduduk di daerah ini sejak gempa bumi melanda Ranau pada Jun 2015.
Gempa berukuran 5.9 magnitud itu mencampakkan debu dan batu dari banjaran yang menjulangkan Gunung Kinabalu di Kundasang, Ranau ke dasar sungai di Kota Belud, menjadikan sungai-sungai Kadamaian, Tempasuk dan Abai semakin cetek.
Sungai-sungai itu kini mengalir lesu ke kawasan tempat ribuan penduduk berumah di tebingnya.
Masalah
Pakar geologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Feliz Tongkul berkata banjir kilat kini sudah jadi lumrah kerana sungai tidak lagi dapat menampung hujan.
“Sungai tidak lagi dapat menahan hujan yang turun dari Gunung Kinabalu.
“Kawasan tadahan di sekitar pergunungan juga semakin gondol menyebabkannya tidak juga dapat menampung hujan,” katanya.
Tahun ini saja ada 70 kali banjir kilat di Kota Belud, dengan empat daripadanya besar sehingga memaksa ramai penduduk berpindah.
Angka pejabat daerah menunjukkan kejadian banjir meningkatkan kepada empat kali ganda dalam masa setahun selepas gempa bumi pada 2015.
Kota Belud mempunyai lebih 60,000 penduduk dengan 31,000 tinggal di kawasan rendah dan kini berdepan dengan cabaran banjir.
Salleh Abin dari Kampung Tanjung Pasir Labuan berkata ini kali pertama air sampai ke paras dadanya.
“Mujur, semua binatang seperti lembu dan kambing selamat. Mungkin mereka berlindung dalam rumah yang tiangnya tinggi,” katanya.
Menurut Salleh, kampung dengan lebih kurang 70 buah rumah itu pernah banjir sebelum ini kerana ia terletak tidak jauh dari sebatang sungai kecil yang bersambung dengan Sungai Tempasuk.
Ghaffar Sadin, 58, dari Kampung Linau berkata kampung itu kadang-kadang kalau tidak ada hujan pun terkena banjir, dan kalau hujan, cukup 20 minit saja untuk air melimpah.
“Tengoklah sungainya, dahulu dalam. Tetapi batu-batu datang dari Gunung Kinabalu, sekarang dah cetek.
“Kampung ini akan banjir walaupun tak hujan kerana mungkin hujan di atas gunung dan air mengalir masuk ke sungai,: katanya.

Mimpi padi
Satu lagi masalah yang berbangkit dek banjir ini ialah sama ada ia akan menjejaskan usaha menjadikan Kota Belud sebuah jelapang padi.
Banjir baru-baru ini menyebabkan hampir seluruh bendang di daerah ini ditenggelami air.
“Kalau keadaan berterusan seperti ini, ia akan menjejaskan penanaman dan tuaian padi,” kata Mustapha Sakmut dari Kampung Sungai Kesapang.
“Kota Belud mengeluarkan 25% daripada padi negara dan bencana baru-baru ini pasti menyebabkan pengeluaran Sabah berkurangan tahun ini.”
Kerajaan Persekutuan bercadang membangunkan daerah itu jadi satu antara empat jelapang padi negara. Tiga yang lain ialah Batang Lupar di Sarawak, Rompin dan Pekan di Pahang.
Kerajaan menyediakan peruntukan RM360 juta bagi tujuan ini di bawah Rancangan Malaysia ke-11, dengan sebahagian besar peruntukan disalurkan untuk meningkatkan sistem saliran dan pengairan.
Sekarang ini ada seluas 8,500 hektar bendang di Kota Belud yang dikerjakan oleh sekitar 3,900 pesawah.
Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kota Belud, Salmah Labulla tidak dapat dihubungi untuk didapatkan komennya.
Tebatan banjir
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan berkata kerajaan melalui Unit Perancangan Ekonomi sudah meluluskan RM20 juta serta tambahan RM7 juta lagi untuk projek tebatan banjir jangka pendek bagi mendalamkan Sungai Kadamaian.
Kerja-kerja itu bagaimanapun hanya boleh dimulakan tahun depan ketika musim kering.

Menurut Rahman pelaksanaan projek itu akan dijalankan dalam dua pakej dan dijangka siap dalam masa empat tahun.
Pakej pertama melibatkan pembinaan ban banjir, kerja-kerja menstabilkan tebing sungai dan mendalamkan sungai di Kampung Kaung Ulu, Kampung Tambatuon, Kampung Siasai-Kampung Gunding, Kampung Menuggui, Kampung Sembirai Senorob, Kampung Lingkodon dan Kampung Kaung Ulu yang terletak di hulu Sungai Kadamaian.
“Bagi pakej kedua, saya sudah mengarahkan pegawai daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk menghantar wakil ke EPU bulan depan untuk memberitahu kami apa yang perlu dilakukan,” katanya.
“Jadi sementara itu kami berharap penduduk akan bersabar dan bersiap sedia bagi segala kemungkinan dan meninggalkan rumah kalau berlaku banjir besar.” – 24 Disember, 2017.
Komen