PROSEDUR operasi standard (SOP) Covid-19 bagi sambutan Thaipusam tahun depan sudah dibincangkan bersama pihak berwajib dan dijangka akan dimuktamad serta diumumkan awal Januari, kata Persatuan Malaysia Hindu Sangam (MHS).
Presidennya R.S. Mohan Shan memberitahu The Malaysian Insight perbincangan dengan pihak berwajib masih berjalan untuk memuktamadkan SOP yang ketat, sebelum diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kami sudah mengadakan dua pertemuan dengan pihak berwajib, termasuk MKN dan Kementerian Perpaduan Negara.
Kami telah kemukakan SOP yang dicadangkan tetapi masih belum mendapat kelulusan, memandangkan sambutan akan melibatkan himpunan yang besar.
“Oleh itu, MKN minta kami perhalusi SOP yang kami cadangkan sebelum memuktamadkannya. Kami jangka ia akan dimuktamadkan awal Januari depan,” kata Mohan Shan.
Thaipusam, yang disambut oleh penganut Hindu bagi menghormati Dewa Murugan, merupakan acara terbesar selepas sambutan Deepavali. Jutaan penganut Hindu akan berhimpun di kuil di seluruh Malaysia, tetapi Batu Caves menjadi tumpuan utama di Malaysia.
Thaipusam disambut semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil ‘Thai’, yang jatuh sama ada pada Januari atau Februari setiap tahun.
Tahun depan Thaipusam jatuh pada 28 Januari.
Singapura sebelum ini mengumukan sambutan Thaipusam di republik itu akan diteruskan tetapi dengan peraturan ketat bagi membendung penularan Covid-19.
Antaranya, kerajaan Singapura melarang perarakan dari Kuil Sri Srinivasa Perumal di Serangoon Road ke Kuil Sri Thendayuthapani di Tank Road.
Penganut Hindu di republik itu juga tidak dibenarkan membawa sebarang bentuk kavadi.
Ditanya jika Malaysia akan mengenakan peraturan sama seperti Singapura, Mohan Shan berkata perkara itu perlu dipertimbangkan dengan teliti sebelum membuat sebarang keputusan.
Apa yang penting, keputusan akhir perlu mengutamakan keselamatan orang ramai.
“Kami tidak mahu terburu-buru keluarkan SOP, perlu mengambil kita setiap aspek dengan mengutamakan kesihatan orang ramai kerana wabak Covid-19 belum berakhir.
“Thaipusam disambut secara besar-besaran di negara ini, dan kebiasaannya melibatkan perhimpunan yang sangat besar.
“Jadi, kami mungkin akan benarkan kavadi dan palkudam (belanga susu), tetapi jumlah kehadiran di dalam atau perkarangan kuil pada satu-satu masa mungkin akan dikurangkan. Semua ini masih dibincangkan,” jelasnya.

Tunggu pengumuman MKN
Perayaan Thaipusam turut disambut secara besar-besaran di Pulau Pinang melibatkan perarakan dua pedati, Pedati Emas dan Pedati Perak yang membawa Dewa Murugan.
Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) P Ramasamy berkata mereka juga mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa dan wakil kuil baru-baru ini untuk membincangkan isu SOP semasa Thaipusam.
Keputusan muktamad akan ditentukan oleh MKN, katanya.
“Kita ada bertemu untuk membincangkan perincian perayaan Thaipusam 2021.
“Jabatan Kesihatan Negeri ada memberi taklimat mengenai situasi terkini Covid-19. Kita juga mengambil pandangan pihak polis, Jabatan Imigresen dan Nattukottai Chettiars.
“Selepas berbincang, kami putuskan untuk menunggu pengumuman MKN sebelum keputusan muktamad dibuat,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Ramasamy berkata mereka mahu menunggu pengumuman MKN terlebih dahulu bagi mengelakkan percanggahan SOP.
Jurucakap Lembaga Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam yang juga menguruskan kuil di Batu Caves juga berkata mereka akan menunggu pengumuman MKN. – 22 Disember, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen