KERAJAAN harus memikirkan keperluan tambahan dana bagi menstabilkan ekonomi negara, sekiranya terdapat gelombang kempat jangkitan virus Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.
Beliau berkata Malaysia serta dunia secara umumnya masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan situasi pada masa kini digambarkan sebagai dinamik.
“Ada kerisauan mengenai gelombang keempat virus Covid-19 dan pada masa yang sama, kita meletak harapan bahawa keadaan akan pulih dengan adanya vaksin,” beliau berkata di dalam satu sesi perbincangan bertajuk “Prospek Ekonomi 2021: Apa Jangkaan Peniaga, Apa Harapan Orang Muda?” hari ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai tambahan dana, beliau menjelaskan dana yang disalurkan kerajaan pada masa ini dan tidak mempunyai had dan kerajaan lebih memfokuskan kepada kepentingan nyawa dan pekerjaan.
“Dana sedia ada merupakan hasil pinjaman dan bukannya ada had, tetapi pada masa yang sama, ia mempunyai kesan kepada tahap defisit fiskal negara, “ulas beliau lagi.
Fiskal defisit negara dijangka meningkat kepada enam peratus daripada kadar keluaran negara kasar (KDNK) pada tahun ini, peningkatan mendadak semenjak krisis kewangan dunia 2009. Ia disebabkan oleh penambahan pakej stimulus yang diperkenalkan kerajaan bagi menangani Covid-19.
Malaysia juga akan menerima bekalan vaksin Covid-19 pada akhir suku pertama 2021, yang mana ia diharap akan menstabilkan ekonomi negara.
“Penerimaan vaksin tersebut dijangka akan menyokong pemulihan ekonomi negara disamping usaha dan strategi menstabilkan ekonomi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun ini termasuklah Belanjawan 2021, pakej ransangan ekonomi Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia Chin Chee Seong berkata beliau berterima kasih kerana Belanjawan 2021 telah mendapat sokongan di Parlimen dan akan meringankan beban PKS.
“Bagaimanapun, kita berharap akan ada kestabilan politik dan tiada pilihanraya akan diadakan dalam masa yang terdekat kerana kestabilan politik memberi kesan lansung kepada keseimbangan ekonomi peniaga-peniaga kecil,” katanya. – Bernama, 21 Disember, 2020.
Komen