Rekod ketiga tertinggi, 2,018 kes baharu Covid-19 hari ini


Aminah Farid

MALAYSIA hari ini melaporkan 2,018 kes baharu Covid-19, angka harian ketiga tertinggi direkodkan sejak negara dilanda pandemik, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah terkumpul kes Covid-19 di Malaysia kini 95,327, dengan jumlah kebolehjangkitan 16,496 kes.

Selangor masih mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,204 kes diikuti Johor (278) dan Sabah (247), kata Dr Noor Hisham.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu juga seramai 1,084 pesakit pulih, menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 ialah 78,363 kes.

Sementara itu, satu kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan warga asing. Mangsa, lelaki berusia 50 tahun, meninggal dunia di Hospital Tuaran.

Ini menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia kini 438 kes.

Dr Noor Hisham juga berkata 243 kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan kluster di penjara dan depot tahanan Imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Gajah (234 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (6 kes) dan Kluster Tembok (3 kes).

Sehingga kini, terdapat 109 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 55 kes memerlukan bantuan pernafasan, katanya. – 21 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen