Ahli Parlimen gesa tubuh pasukan respons Covid-19 di Klang


Ahli Parlimen Klang Charles Santiago minta KKM tubuh pasukan respons Covid-19 di Klang, di mana pada masa ini tedapat lebih 4,000 kes aktif di situ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) perlu menubuhkan pasukan respons Covid-19 di Klang, di mana pada masa ini tedapat lebih 4,000 kes aktif di situ, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Pasukan itu dapat memberi maklumat terkini berkenaan kes Covid-19 di kawasan itu dan dapat membantu mengurangkan kegusaran dan rasa cemas dalam kalangan penduduk Klang.

Santiago berkata pasukan itu boleh membabitkan kementerian di peringkat persekutuan, dan negeri, pasukan sivil berasaskan kesihatan dan badan profesional seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Doktor Kesihatan Awam Malaysia, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan masyarakat peniaga Klang.

“Agak sukar untuk mendapatkan maklumat. Orang ramai semakin bimbang dengan kes Covid-19 yang meningkat.

“Sebelum dilaporkan di media pun, terdapat khabar angin tentang kes berlaku di hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Ada keperluan untuk menguruskan maklumat secara berkesan untuk mendapatkan keyakinan dalam kalangan masyarakat tempatan dan peniaga,” kata Santiago.

Pasukan itu boleh ditugaskan untuk memantau, mencetuskan kesedaran, menyediakan laporan harian dan menggerakkan masyarakat tempatan dan kilang di kawasan itu.

“Sebagai tambahan, pasukan itu boleh membawa doktor daripada sektor swasta dan kemudahan perubatan bagi memberi sokongan kepada sektor awam.”

Malaysiakini baru-baru ini melaporkan hampir 100 staf dan pesakit Tengku Ampuan Rahimah didapati positif Covid-19.

Perkara itu tidak didedahkan oleh pihak berkuasa tetapi hasil siasatan media, yang menemui sumber mengatakan pesakit dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan tiada kaitan dengan Covid-19 dan diuji negatif ketika masuk, tetapi kemudian mengalami gejala ketika berada di hospital.

Santiago berkata maklumat terkini harian berkenaan situasi sebenar di Klang perlu disalurkan kepada masyarakat setempat di Klang dan Kapar, bagi membantu mengawal penyebaran maklumat salah atau berita palsu. – 21 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen