THAILAND akan menguji lebih 10,000 orang dalam tempoh tiga hari akan datang selepas mencatatkan peningkatan kes COVID-19 pada Sabtu, yang dikaitkan dengan pasar makanan laut di Samut Sakhon.
Setakat ini, sejumlah 689 kes Covid-19 mempunyai kaitan dengan penjual udang di wilayah barat daya Samut Sakhon termasuk dua kes di Bangkok, dua di Nakhon Pathom dan tiga di Samut Prakan, menurut Kementerian Kesihatan Awam.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissnuyothin berkata pihak berkuasa kesihatan itu akan menjalankan 10,300 ujian di lapan wilayah bermula hari ini sehingga Rabu.
“Usaha pengesanan kes aktif Covid-19 akan diteruskan di Samut Sakhon, di mana wabak ini berlaku dan di wilayah berhampiran seperti Samut Songkram, Nakhon Pathom, Ratchaburi, Phetchaburi dan Kanchanaburi,” katanya pada sidang media hari ini.
Sejak 24 jam lalu, Thailand merekodkan lebih 600 kes baharu Covid-19, termasuk 516 yang dilaporkan malam semalam. – Bernama, 20 Disember, 2020.
Komen