MALAYSIA merekodkan 1,340 kes baharu Covid-19 dan 1,067 kes pulih dalam tempoh 24 jam lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor mencatatkan kes paling tinggi bagi kes baharu dan kes pulih.
Sebanyak 441 kes baharu atau 32.9% daripada keseluruhan kes direkodkan di Selangor disusuli Kuala Lumpur dengan 284 kes (21.2%) dan Sabah 196 kes (14.6%).
Ini merupakan hari kelima Selangor mencatatkan kes paling tinggi berbanding negeri lain.
Daripada keseluruhan 1,067 kes pulih, Selangor mencatatkan 357 kes pulih disusuli Sabah dengan 266 dan Pahang (152).
Jumlah kes pulih seluruh negara kini berjumlah 77,309 atau 82.9% daripada keseluruhan 93,309 kes jangkitan.
Malaysia juga merekodkan empat kes kematian, menjadikan jumlah korban kini sebanyak 437.
Dua kematian direkodkan di Sabah dan masing-masing satu di Selangor dan Pulau Pinang.
Kesemua mangsa merupakan lelaki dan berusia 60 tahun ke atas.
Tiga daripadanya merupakan rakyat tempatan dan mempunyai sejarah penyakit seperti darah tinggi manakala seorang lagi mangsa merupakan warga negara asing yang tidak mempunyai sebarang rekod perubatan.
Kementerian Kesihatan sebelum ini berkata lebih 50% kematian di Malaysia akibat Covid-19 mempunyai sejarah penyakit darah tinggi.
Malaysia kini mempunyai 15,563 kes aktif dengan 116 pesakit dimasukkan di ICU dan 57 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 20 Disember, 2020.

Komen