TV Pendidikan perlu diperbaiki dan menghasilkan penerbitan lebih berkualiti bagi mengekalkan minat pelajar, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan.
Apatah lagi pandemik Covid-19 menyebabkan sekolah ditutup dan sesi pembelajaran berlangsung secara atas talian.
Tan berkata program pendidikan yang mengikut sukatan di sekolah sudah tentu dapat membantu pelajar yang tidak mempunyai gajet atau akses kepada Internet.
Bagaimanapun, katanya program di saluran televisyen itu tidak interaktif.
“Guru biasanya akan menggunakan pelbagai peralatan termasuk TV Pendidikan untuk mengajar terutama jika ia berkesan atau menjadikan pembelajaran lebih menarik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
TV Pendidikan akan lebih baik jika ia diterbitkan dalam bentuk pendidikan hiburan seperti program Discovery Channel dan National Geographic, kata Tan.
“Ia tidak sepatutnya hanya sekadar rakaman guru mengajar di kelas atau menyebarkan maklumat.
“TV adalah TV, kita perlukan inovasi, pelakon, kesan khas dan untuk orang suka supaya rating tinggi,” katanya merujuk kepada keberkesanannya terhadap pelajar.
Tan berkata guru boleh menyediakan input kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, tetapi penerbit berbakat dan pendidik diperlukan untuk program itu terus mendapat perhatian pelajar.

Guru, Amelia Natasha, 27, yang mengajar mata pelajaran drama, matematik dan bahasa Inggeris di sekolah rendah, berkata daya tarikan TV Pendidikan bergantung kepada umur pelajar dan demografik.
“Ia mungkin lebih berguna untuk kanak-kanak berusia tiga hingga lima berbanding kanak-kanak lebih berusia kerana ia berlawan dengan YouTube, Google dan platform pembelajaran lain yang lebih menarik,” katanya.
Kerajaan perlu melabur lebih lagi jika mahu TV Pendidikan menyediakan pembelajaran lebih berkesan sebagai platform tidak interaktif.
TV Pendidikan boleh membantu, tetapi jika pembelajaran atas talian dan di rumah akan menjadi norma jangka panjang kerana pandemik, dengan lebih banyak bajet perlu diperuntukkan bagi mengekalkan standard pembelajaran.
“Bajet perlu diberikan kepada guru dan pelajar di sekolah supaya guru dapat menaik taraf peralatan mereka atau majukan lagi pedagogi. Atau beri peruntukan untuk pelajar yang lebih suka pembelajaran berdasarkan pengalaman,” katanya.
Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Jidin berkata program pendidikan di TV Pendidikan menerima 6.3 juta tontonan sejak April.
Perintah kawalan pergerakan bagi membendung Covid-19 dan penutupan sekolah bermula pada Mac.
TV Pendidikan diperkenalkan semula menerusi saluran TV Okey selama dua jam bermula 6 April, menjadikan jumlah keseluruhan siaran sembilan jam sehari, termasuk Tutor TV Astro (empat jam) dan NTV7 (tiga jam).
Radzi berkata program yang disiarkan di TV Okey sejak 6 April mencatatkan jumlah penonton seramai 1.8 juta sementara program siaran saluran Astro memperoleh 5.4 juta penonton. – 21 Disember, 2020.
Komen