Belanda sekat penerbangan dari UK


Belanda melaksanakan sekatan terhadap penerbangan dari UK susulan penemuan strain baharu Covid-19 di negara itu. – Gambar EPA, 20 Disember, 2020.

KERAJAAN Belanda pada Ahad melarang semua penerbangan komersil dari Britain selepas menemui kes strain koronavirus baru yang menular di United Kingdom (UK).

Larangan yang bermula pada pukul 6 pagi (0500 GMT) pada Ahad dan berakhir hingga 1 Januari, dilaksanakan beberapa jam selepas Britain mengumumkan arahan tinggal di rumah bagi sebahagian negara untuk memperlahankan penularan.

“Jangkitan mutasi virus Covid-19 berada di UK. Ia dikatakan tersebar dengan lebih mudah dan cepat serta lebih sukar untuk dikesan,” kata kementerian kesihatan Belanda dalam satu kenyataan.

Justeru, badan kesihatan awam Belanda, RIVM, “mencadangkan agar sebarang pendedahan kepada virus menular di UK disekat sebaik mungkin dengan membatasi dan/atau mengawal pergerakan penumpang.”

Kabinet Perdana Menteri Mark Rutte mengambil “keputusan pencegahan” dengan melarang penerbangan dari Britain, kata kenyataan itu, sambil menambah jenis pengangkutan lain masih dalam kajian.

Belanda diletakkan dalam perintah pengurungan selama lima minggu hingga pertengahan Januari dengan sekolah dan semua kedai tidak penting ditutup untuk memperlahankan peningkatan virus.

Kementerian kesihatan menambah “kajian kes di Belanda pada awal Disember mendedahkan virus dengan varian berada di UK.”

Pakar melihat bagaimana jangkitan itu berlaku dan apakah ada kes yang berkaitan.

Perdana Menteri Britain Boris Johnson berkata, data awal menunjukkan virus di London dan tenggara England, 70% lebih mudah tersebar. – AFP, 20 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen