PELANTIKAN perunding pengurusan projek (PMC) bagi Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,077km di Sarawak akan dibuat bulan depan, kata Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.
Beliau berkata, selain beberapa perkara yang longgar, pelantikan itu hanya menunggu persetujuan Kementerian Kewangan.
“Syarikat yang akan dilantik sudah ditetapkan,” katanya kepada wartawan di Kuching hari ini.
Fadillah berkata, ada keperluan melantik PMC kerana Jabatan Kerja Raya Sarawak mengurus banyak projek negeri dan persekutuan.
Beliau juga menjelaskan bahawa pelantikan PMC bukan bertujuan untuk mengembalikan sistem Project Delivery Partner (PDP) yang menjadi kontroversi apabila ia diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional yang kemudian dibubarkan oleh Pakatan Harapan setelah mereka mengambil alih kuasa pada 2018.
PDP ketika itu ialah Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) yang dilantik oleh kerajaan bagi menjayakan projek bernilai RM16.48 bilion.
Katanya, PMC ini hanya akan menjadi perunding kepada kerajaan di bawah pengawasan Jabatan Kerja Raya Sarawak.
“Mereka akan membantu JKR Sarawak bukan hanya untuk memantau projek itu tetapi juga melakukan memeriksa semua kerja yang dilaksanakan kontraktor.”
Lebuh raya Pan Borneo pada awalnya dijangka siap pada awal 2022 namun tarikh itu telah ditangguh ke suku pertama tahun 2023.
Fadillah berkata tempoh adalah jangka masa yang realistik memandangkan sekatan pergerakan dilaksanakan sepanjak pandemik Covid-19 melanda negara selain kekurangan pekerja asing kerana penutupan sempadan.
Lebuh raya tersebut ketika ini sudah siap 51%.
Fadillah berharap PMC tersebut dapat menyegerakan kerja pembinaan dan memenuhi sasaran 70% pada akhir tahun depan.
“Mudah-mudahan wabak Covid-19 akan berakhir pada saat itu dan lebih banyak pekerja dapat masuk,” tambahnya. – 19 Disember, 2020.
Komen