Sektor pelancongan tidak boleh pulih tanpa pelan kukuh, kata Guan Eng


Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mengulas bantuan yang diberikan kerajaan untuk menampung kerugian sektor pelancongan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2020.

MUSTAHIL bagi sektor pelancongan untuk bangkit semula tanpa pelan yang kukuh daripada kerajaaan selepas mengalami anggaran kerugian RM100 bilion tahun ini ekoran pandemik Covid-19, kata Lim Guan Eng.

Bekas menteri kewangan itu berkata insiatif di bawah Belanjawan 2021 dan pembayaran ‘one-off’ kepada pemain industri hanya bantuan kecil untuk pelan jangka masa panjang.

Sebaliknya Lim berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu menambah bantuan dan menyasarkan kumpulan sokongan dalam industri itu seperti pemandu pelancong, agensi pelancongan, operator bas ekspres dan pekerja hotel.

“Bagi industri yang terjejas teruk, subsidi gaji yang tinggi berdasarkan peratusan gaji perlu ditawarkan berbanding bantuan RM600 sebulan.

“Sepatutnya subsidi diberikan 50% daripada gaji pekerja sehingga RM4,000 sebulan dan 30% bagi pekerja yang dibayar antara RM4,001 dan RM8,000.

“Pakatan Harapan (PH) sebelum ini juga mencadangkan peningkatan jumlah bantuan bulanan kepada RM1,000 termasuk kepada mereka yang menganggur.

“Bantuan one-off hanya bantuan sementara kepada mereka yang tidak bekerja dan tidak membantu pemain industri untuk pulih semula,” kata setiausaha agung DAP itu dalam satu kenyataan.

Beliau mengulangi gesaan untuk lanjutan moratorium bank secara automatik kecuali golongan T20 selain tambahan insentif RM500 gaji dan insentif RM300 pengambilan pekerja pada setiap bulan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Katanya sebagai tambahan, bantuan kewangan RM10 bilion perlu diberikan kepada PKS terutamanya industri pelancongan. – 19 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen