SATU pasukan saintis antarabangsa akan ke China bulan depan untuk mengkaji asal-usul virus Covid-19 yang didakwa berasal dari Wuhan, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) semalam.
Ketua Program Kecemasan WHO Michael Ryan berkata pasukan tersebut dijangka akan ke China pada minggu pertama Januari.
Virus Covid-19 yang muncul hampir setahun yang lalu sehingga kini telah menjangkiti 75 juta orang di seluruh dunia dengan 1.7 juta kes kematian.
Asal-usul virus membawa maut itu, yang didakwa disebarkan dari haiwan kepada manusia, masih menjadi misteri.
Sejak beberapa bulan yang lalu WHO cuba menghantar pasukan yang terdiri daripada 10 saintis antarabangsa termasuk pakar epidemiologi dan kesihatan haiwan ke China.
Satu pasukan telah dihantar ke Beijing pada Julai untuk sebagai persediaan asas bagi penyelidikan mereka.
Namun setakat minggu ini masih belum jelas bilakah tarikh sebenar pasukan 10 saintis berkenaan akan ke China bagi memulakan kajian untuk mengenal pasti sumber jangkitan.
Timbul juga persoalan apakah pasukan tersebut akan dibenarkan ke Wuhan, bandar di mana kes pertama dikesan pada Disember tahun lalu.
Ryan berkata pasukan mendapat segala sokongan yang diperlukan dari WHO dalam usaha untuk mengkaji asal-usul virus Covid-19.
Saintis sebelum ini percaya virus itu disebarkan dari haiwan kepada manusia di sebuah pasar yang menjual haiwan eksotik di Wuhan.
Bagaimanapun pakar kini berpendapat virus Covid-19 mungkin bukan berasal dari pasar tersebut, sebaliknya menjadi tempat bagi virus itu “lebih aktif”.
Virus Covid-19 didakwa berasal dari kelawar tetapi haiwan perantara yang menyebarkannya kepada manusia masih belum diketahui. – AFP, 19 Disember, 2020.
Komen