108 pemimpin muda Amanah sokong cadangan satukan pembangkang


Lebih 100 pemimpin Amanah menyokong cadangan anjakan politik baharu untuk menyatukan semua ahli Parlimen pembangkang dalam satu gabungan besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2020.

LEBIH 100 pimpinan muda akar umbi Amanah menyokong cadangan dua pemimpin kanan Pakatan Harapan yang mahu parti itu membuat anjakan politik baharu untuk menyatukan semua ahli parlimen pembangkang dalam satu gabungan besar.

Dalam satu kenyataan bersama, 108 pimpinan muda akar umbi berkata cadangan Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bukan untuk membelakangkan PKR tetapi satu usaha untuk menggerakkan blok pembangkang di landasan yang sama.

“Kami berpandangan bahawa kesatuan dalam kalangan semua parti komponen pembangkang amat mustahak bagi menghadapi cabaran politik yang mendatang serta persediaan bagi Pilihan Raya Umum ke-15. 

“Pakatan Harapan perlu mengambil langkah progresif bagi membuka semula pintu rundingan kepada parti-parti pembangkang yang lain bagi membina semula imej dan kekuatan menjelang tahun hadapan,” kata mereka.

Semalam, Mohamad dan Lim berkata ini masanya untuk seluruh blok pembangkang bersatu demi membina kekuatan bersama yang ada atas landasan perjuangan bersama, selepas undian belah bahagian yang meluluskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH, yang kemudian dibatalkan tanpa sebarang penjelasan rasmi.

Beberapa media yang memetik sumber kemudian melaporkan pembatalan itu ada kaitan dengan kenyataan bersama Mohamad dan Lim.

Pada Selasa, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 lulus dengan 111 ahli Dewan Rakyat menyokong dan 108 menentang. 

Seorang, iaitu Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, tidak hadir malah tidak terlibat sejak awal kerana mempertikaikan keabsahan kerajaan Muhyiddin Yassin.

Mohamad dan Lim berkata episod Belanjawan 2021 seharusnya mengajar PH bahawa blok pembangkang bukannya 92 kerusi, iaitu yang diwakili oleh tiga parti dalam PH, tetapi seluruh 108 yang tidak menyokong kerajaan Muhyiddin.

“Pemimpin PH mesti mengetepikan bebanan lampau supaya PH dapat berkembang menjadi PH Plus dengan kekuatan hebat 108 ahli Parlimen. 

“Dengan 108 ahli Parlimen PH Plus sebagai pakatan yang mantap, apa-apa sahaja kemungkinan boleh berlaku kelak,” kata mereka.

Blok PH di Dewan Rakyat dibentuk oleh PKR dengan 38 kerusi, DAP 42, dan Amanah 11. Blok pembangkang juga disertai oleh Parti Warisan Sabah dengan 8 kerusi, sementara empat wakil rakyat bebas dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinan Dr Mahathir Mohamad yang menunggu pendaftaran. Upko ada satu kerusi, Parti Sarawak Bersatu dua kerusi, dan dua lagi bebas.

Blok pembangkang bercelaru selepas Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR dan ketua pembangkang berselisih faham dengan Dr Mahathir, bekas pengerusi gabungan.

Dr Mahathir berkali-kali sebelum ini membuat kenyataan bahawa Anwar tidak layak untuk jadi perdana menteri, ketika gabungan pembangkang berhadapan dengan kerajaan Muhyiddin yang hanya memiliki majoriti tipis – paling tipis dalam sejarah Malaysia sejak merdeka.

Semasa Belanjawan 2021 diundi di peringkat dasar pada 26 November, Dr Mahathir adalah antara 13 ahli parlimen yang bangun mendesak undian belah bahagian sementara wakil rakyat pembangkang lain duduk mengikut arahan Anwar yang dikeluarkan pada saat akhir.

Anwar selepas itu menjelaskan ia sebahagian daripada strategi untuk menolak cadangan kerajaan pada peringkat jawatankuasa dan bacaan ketiga.

Bagaimanapun peruntukan bagi semua kementerian lulus di peringkat jawatankuasa, dengan 18 lulus secara undian suara dan sembilan diundi belah bahagian. – Bernama, 18 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen