Sarawak bawa pulang 91 rakyat Malaysia terkandas di Papua New Guinea


Desmond Davidson

Seramai 91 pekerja ekspatriat Sarawak yang terkandas di Papua New Guinea sejak pertengahan Oktober lalu dibawa pulang dengan penerbangan sewaan malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Disember, 2019.

SERAMAI 91 pekerja ekspatriat Sarawak yang terkandas di Papua New Guinea sejak pertengahan Oktober lalu dibawa pulang dengan penerbangan sewaan malam tadi.

Mereka diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jacksons ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan pesawat Air Niugini Boeing 737 yang disewa.

Penerbangan pulang mereka mendapat campur tangan Menteri Pengangkutan Sarawak Lee Kim Shin.

Mereka yang sudah tamat kontrak kerja itu adalah antara 106 rakyat Malaysia termasuk lima rakyat Sabah dan 10 dari semenanjung yang terkandas di negara berkenaan disebabkan oleh sekatan perjalanan Covid-19.

Untuk pulang ke negara ini rakyat Malaysia perlu melakukan penerbangan ke Singapura sebelum menyambung penerbangan ke sini namun mereka terkandas apabila negara berkenaan melarang penerbangan transit sebagai sebahagian daripada langkah mengekang penyebaran Covid-19. 

Dalam keadaan terdesak salah seorang warga Sarawak yang terkandas kemudian menghubungi Lee di Facebook meminta pertolongan membawa mereka pulang.

Dalam satu kenyataan Lee berkata sebuah agensi pelancongan Papua Nuguni berusaha membantu rakyat Malaysia dengan menyewa pesawat Air Niugini untuk penerbangan terus.

Bagaimanapun rancangan asal terganggu disebabkan karenah birokrasi menyebabkan tiga penerbangan yang dicadangkan pada 13, 20 dan 24 November dibatalkan apabila Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) gagal mengesahkan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC).

Lee berkata perkara pertama yang beliau lakukan adalah menghubungi Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah untuk mendapatkan bantuan agar CAAM mempercepatkan pengesahan AOC sementara beliau membantu menyelaraskan dengan jawatankuasa pengurusan bencana Sarawak bagi memastikan kepulangan mereka berjalan lancar.

Penerbangan PX9396 mendarat pada jam 8.50 malam tadi dan semua penumpang termasuk dari Sabah dan semenanjung kini berada dalam tempoh kuarantin.

Rakyat Malaysia yang terkandas diambil bekerja oleh 33 syarikat dalam sektor pembalakan, peruncitan dan pentadbiran.

Rakyat Sarawak yang menghubungi Lee – yang dikenali sebagai “Sibuan” – sangat berterima kasih terhadap menteri berkenaan dan menyampaikan ucapannya itu menerusi surat mewakili rakyat lain yang terkandas. – 18 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen