BRAZIL pada hari Khamis mencatatkan lebih 1,000 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam untuk pertama kalinya sejak September, menurut data kerajaan.
Sebanyak 1,092 kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan akibat wabak koronavirus kepada hampir 185,000 kematian.
Negara Amerika Selatan itu juga mencatatkan hampir 70,000 jangkitan baharu, dengan lebih 7.1 juta kes.
Kes dan kematian baharu meningkat sejak November di negara yang mempunyai 212 juta penduduk dan keadaan semakin buruk dengan musim cuti semakin hampir.
Angka itu menurun selepas beberapa lama dari Jun hingga Ogos dengan kematian setiap hari melebihi 1,000.
Terdapat juga kebimbangan mengenai rancangan imunisasi Brazil yang dikritik ramai.
Kementerian kesihatan menjangkakan dapat memberi vaksin kepada 70% penduduknya - kira-kira 150 juta orang - dalam masa 16 bulan.
Presiden sayap kanan Jair Bolsonaro dikritik secara meluas kerana meremehkan pandemik, walaupun beliau telah dijangkiti Covid-19.
Dan sehari sebelum mengumumkan rancangan imunisasi Brazil, beliau mencetuskan kontroversi dengan mendakwa beliau tidak akan diberi vaksin.
Beliau juga memperlekehkan vaksin CoronaVac yang dihasilkan oleh makmal China Sinovac, yang dihasilkan secara tempatan oleh Institut Butantan dengan sokongan daripada gabenor Sao Paulo, Joao Doria, yang dijangka akan mencabar Bolsonaro bagi pilihan rara presiden pada 2022. – AFP, 18 Disember, 2020.
Komen