Kumpulan Hindu mahu kerajaan peka isu roboh kuil


Ravin Palanisamy

Kumpulan Hindu mahu kerajaan lebih peka dalam menangani isu perobohan kuil dan melakukan perbincangan sewajarnya sebelum merobohkan rumah ibadat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2020.

TINDAKAN merobohkan kuil di Kedah baru-baru ini mendatangkan kemarahan kepada penganut Hindu yang berpotensi merosakkan perpaduan dan keharmonian negara yang berbilang agama, kata sebuah kumpulan Hindu.

Presiden Hindu Dharma Maamandram Malaysia, Radhakrishnan Alagamalai berkata kerajaan perlu peka dalam menangani isu berkenaan dan perbincangan sewajarnya harus dilakukan sebelum merobohkan rumah ibadat.

Radhakrishnan berkata persatuan akan mengadakan sidang media bersama beberapa kumpulan Hindu lain pada 21 Disember bagi menyuarakan sentimen penganut Hindu di negara ini mengenai isu yang diperdebatkan.

“Tujuan kami adalah untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan bahawa jika ada kuil yang akan dirobohkan maka kerajaan negeri atau pihak berwajib perlu membuat pemberitahuan yang tepat kepada pemimpin agama Hindu dan juga pihak pengurusan kuil agar masalah tersebut dapat dibincangkan.

“Terdapat upacara suci yang melibatkan kuil Hindu. Jadi, semuanya perlu mendapat pertimbangan sebelum merobohkan kuil secara membabi buta,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata 10 kumpulan Hindu sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam sidang media bersama dan beliau sedang menunggu respons yang lain termasuk Sangam Hindu Malaysia untuk mengesahkan penyertaan.

Dua minggu lepas Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah.

Kedah kini diperintah oleh parti Islam PAS selepas diambil alih oleh Perikatan Nasional (PN) pada Februari.

Ia adalah perobohan kuil kedua di negeri ini dalam tempoh enam bulan.

Yang pertama, Kuil Madura Veeran berusia 100 tahun di pintu masuk stesen kereta api Alor Setar yang dirobohkan pada Julai.

Susulan kejadian kedua Menteri Besar Kedah Muhammed Sanusi Md Nor menyifatkan pengkritiknya terutamanya pemimpin MIC dan DAP sebagai “mabuk dan tidak bertanggungjawab” kerana mempertahankan kuil.

Radhakrishnan berkata menteri besar Kedah berat sebelah dan tidak sensitif dengan membuat komen sedemikian.

“Sebagai pemimpin negeri, Sanusi tidak sepatutnya melakukan perkara seperti itu. Sebagai pemimpin, beliau mesti menjadi wakil negeri dan tidak boleh berada di sebelah pihak.

“Beliau mesti menjaga semua orang di negeri ini, bukan hanya untuk kaum tertentu sahaja.

“Apabila timbul masalah berkaitan kuil, mereka perlu memahami bahawa ada cara untuk melakukan hal-hal tertentu. Dalam hal ini mereka seharusnya menghormati kepercayaan penganut Hindu apabila ia melibatkan penempatan semula dan perobohan.

“Malaysia adalah negara berbilang agama, di mana kita hidup dalam keadaan harmoni, kita tidak mahu isu sensitif menimbulkan masalah. Contoh yang baik adalah isu kuil Seafield dua tahun lalu yang mengakibatkan berlakunya rusuhan.

“Jadi, mari kita duduk dan berbincang sebelum membuat keputusan,” katanya. – 18 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen