KEMENTERIAN Kesihatan mengenalpasti tiga kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir dengan dua kluster dikesan di Kuala Lumpur dan satu di Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata salah satu daripada dua kluster di Kuala Lumpur melibatkan tapak pembinaan.
Dua kluster pertama di ibukota ialah Jalan Rusa melibatkan daerah Cheras.
Daripada 1,267 orang yang disaring, sebanyak 129 kes positif dilaporkan dalam kluster ini.
“Kes Covid-19 dalam kluster ini dikenal pasti melalui saringan komuniti di kawasan perumahan.
“Saringan dilakukan selepas satu kes positif dikesan dalam kalangan komuniti pada akhir November,” katanya dalam satu kenyataan.
Kluster kedua yang dilaporkan di Kuala Lumpur melibatkan sebuah tapak pembinaan di Lembah Pantai dan dinamakan sebagai Bina Pasifik.
Sehingga hari ini sejumlah 159 individu disaring dan seramai 17 diuji positif.
Kluster terakhir dilaporkan hari ini dikenali sebagai Maringkan yang melibatkan daerah Telupid dan Ranau di Sabah.
Sebanyak 11 kes dikesan dalam kluster ini daripada 93 yang disaring.
Penambahan tiga kluster baharu hari ini menjadikan jumlah kluster di negara ini berjumlah 429 di mana 193 daripadanya masih aktif dan 41 daripadanya melaporkan kes baharu.
Daripada kluster aktif yang melaporkan kes baharu, kluster Penjara Jalan Harapan di Sg Buloh mencatatkan 98 kes hari ini, yang tertinggi di antara semua kluster diikuti oleh kluster Jalan Rusa (57 kes) dan kluster Bintang yang baru dikenal pasti (50 kes).
Sebanyak enam kluster dilaporkan tamat hari ini.
Mereka adalah Benteng PK, Kapas BJ, Bah Tropicana dan Mentari (semuanya di Selangor), Taman di Sabah dan Bah Bercham di Perak. – 17 Disember, 2020.
Komen