MALAYSIA mencatatkan 1,220 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif menghampiri angka 90,000.
Jumlah semasa kini berjumlah 89,133 dengan jumlah kematian seramai 432 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dari kes baharu, Selangor menduduki tempat teratas dengan jumlah jangkitan di negeri ini mencatat 368 kes atau 30.2% daripada jumlah hari ini diikuti Kuala Lumpur dengan 297 kes (24.3%) dan Sabah dengan 184 kes (15.1%).
“Dari kes baru yang dicatatkan di Selangor, 247 kes atau 67.1% kes di negeri itu berkaitan dengan kluster dan kontak rapat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ini adalah lapan hari berturut-turut di mana negara mencatatkan angka empat digit kes harian.
Malaysia juga mencatatkan tiga kematian dalam tempoh 24 jam terakhir.
Dua kematian dilaporkan di Sabah sementara kes ketiga di Johor.
Ketiga-tiga mangsa adalah lelaki dan mempunyai sejarah perubatan.
Mangsa termuda berusia 36 tahun manakala yang tertua berusia 81 tahun.
Seramai 1,297 pesakit dibenar keluar dari hospital hari ini menjadikan jumlah kes pulih di negara ini 74,030 atau 83.1% dari jumlah keseluruhan kes.
Kes aktif di negara ini berjumlah 14,671 dengan 106 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 53 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. – 17 Disember, 2020.
Komen