Ungku Aziz, orang Melayu dan telur ayam sebiji seminggu


Noor Azam Shairi

Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang merupakan tokoh intelek luar biasa negara, meninggal dunia pada Selasa lalu.– Gambar FaceBook, 17 Disember, 2020.

SAYA sempat mewawancara Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, tokoh intelek luar biasa yang meninggal dunia pada Selasa, beberapa kali antara awal 2003 hingga hujung 2006.

Seingat saya dua kali bersama wartawan Ramli Abdul Karim dan tiga kali bersendirian, ketika kami sama-sama mengendalikan meja rencana di Mingguan Malaysia terutamanya ruangan Wawancara halaman 7 yang terbit pada setiap Ahad.

Wawancara awal saya dan Ramli dibuat bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-46 pada 2003. Seingat saya wawancara itu diatur macam tangkap muat. Minggu itu tiada isu besar. Kebetulan Ahad itu Hari Kebangsaan.

Bukan mudah mengendalikan ruangan wawancara satu halaman penuh setiap minggu. Selain isu yang relevan dan menarik, tokoh pilihan juga bukan sembarangan. Mesti ada sebab kenapa orang ini yang diwawancara dan bukan orang itu.

Isu yang diangkat diberi perhatian yang sama penting; dibahaskan sebelum setiap Rabu dengan ketua pengarang, ketika itu Khalid Mohd. Pesannya satu – wawancara ini jangan mengulang-ulang pandangan yang dilaporkan sebagai berita pada sepanjang minggu tetapi mesti membuka wacana baharu dan segar untuk minggu berikutnya.

Pada hujung Ogos 2003, selepas dapat persetujuan Pak Ungku untuk diwawancara, saya dan Ramli ke apartmennya di Seksyen 17 Petaling Jaya. Dia meminta kami menunggu di kolam renang di lantai bawah. Tidak sampai 10 minit menunggu, Pak Ungku pun datang. Kami duduk dan berbual.

Dr Mahathir Mohamad ketika itu sedang menghabiskan baki dua bulan terakhirnya sebagai perdana menteri sebelum bersara. Abdullah Ahmad Badawi sedang mempersiapkan diri untuk jadi pengganti.

Kami bertanya kepada Pak Ungku maksud merdeka dan patriotisme, tentang Wawasan 2020, dan makna menjadi negara maju. Pak Ungku – dan begitulah Pak Ungku – akhirnya menarik kami untuk mendengar syarahannya tentang orang Melayu dan kemiskinan.

Saya cepat mengerling mata kepada Ramli. Saya tahu Ramli akan bertanya satu soalan yang sudah awal-awal lagi diberitahunya kepada saya – sebagai satu amaran, ketika kami dalam kereta dari pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin menuju ke Petaling Jaya.

“Kalau Pak Ungku cakap lagi pasal orang Melayu kena makan telur ayam sebiji seminggu, aku akan tanya kenapa dia ulang-ulang cerita yang sama,” katanya, begitulah lebih kurang.

Setuju, kata saya kepada Ramli. Ya, dalam wawancara kami dengannya sebelum itu dan wawancara dengan media lain yang kami baca sebagai rujukan pun memang Pak Ungku bercakap tentang kepentingan makan telur sekurang-kurangnya sebiji seminggu.

Pada petang itu, kami sekali lagi mendengar “syarahan” Pak Ungku tentang saiz badan orang Melayu yang kecil dan tentang orang Melayu perlu makan telur sekurang-kurangnya sebiji seminggu.

Kami lalu bertanya: kenapa Pak Ungku mengulang-ulang cerita yang sama, adakah kerana orang tidak mendengar katanya?

Halus tetapi tajam dia menjawab: pendengaran orang lain mungkin tidak sama dengannya dan kerana itu mereka tidak dengar apa yang dia kata, dan mungkin juga dia tersalah pandang sehingga tidak nampak kejayaan yang orang lain nampak.

“Saya tahu cerita saya sudah lapuk tetapi saya akan terus mainkan lagu saya kerana saya tahu lagu saya adalah lagu orang Melayu,” katanya.

Sebelum akhir wawancara, Pak Ungku menegur sikap orang Melayu yang tidak minat berfikir dan tiada kemahiran untuk berfikir. Dia kemudian ditanya, apa lagi pada pandangannya masih lagi menjadi masalah bagi orang Melayu.

“Kemiskinan dan kemunduran,” katanya.

“Saya minta maaf kerana terpaksa mengulang-ulang hal ini. Mungkin saya agak konservatif kerana sudah tua. Saya tidak ada pemikiran baru setiap hari.”

Wawancara itu disiarkan di Mingguan Malaysia pada 31 Ogos, 2003 dengan tajuk Erti Kemerdekaan Kita.

Dua bulan selepas itu, Abdullah mengangkat sumpah jadi perdana menteri Malaysia yang kelima menggantikan Dr Mahathir yang mentadbir selama 22 tahun. Dalam satu wawancara juga dengan Mingguan Malaysia, ahli sosiologi Syed Hussein Alatas, yang juga seorang lagi cendekiawan unggul, menyifatkan peralihan era itu “ibarat kita keluar dari kota raya dan masuk ke hutan belantara; kita menghirup udara yang segar”.

Harapan orang kepada Abdullah atau Pak Lah memang berbunga-bunga.

Sekali lagi wawancara Ungku Aziz

Hampir lima bulan jadi perdana menteri, Pak Lah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen – sembilan bulan lebih awal daripada mandat berakhir. Pak Lah mencari mandat baharu, yang secara rasminya akan membuka era baharu selepas Dr Mahathir. Barisan Nasional menang besar, 198 daripada 219 kerusi. Pembangkang hanya menang 20 kerusi: DAP 12, PAS 7 dan PKR hanya satu kerusi. Ketua pembangkang Abdul Hadi Awang yang ketika itu memangku jawatan presiden PAS pun kalah.

Pak Lah pun dapat mandat yang cukup selesa dan mula mahu menunjukkan kepimpinannya sendiri, membawa Malaysia keluar dari bayang-bayang Dr Mahathir. Antara satu perkara yang jadi perhatiannya ialah dasar ekonomi.

Dalam satu perbincangan tidak rasmi anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada hujung Julai 2004, sekumpulan tokoh korporat, ahli akademik, pengarang kanan media dan pegawai kanan kerajaan diberi taklimat tentang angka-angka petunjuk sosioekonomi Malaysia yang membimbangkan. Kedudukan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera “berada di persimpangan jalan”. Sedikit pencapaian yang ada sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1971 akan terhakis akibat cabaran globalisasi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Norraesah Mohamad menulis rencana yang provokatif “Menang bentuk, kalah isi” yang disiarkan di Mingguan Malaysia pada 8 Ogos, 2004. Rencana itu disusuli oleh kupasan ahli ekonomi Dr Ismail Mohd Salleh yang disiarkan sehari kemudian, yang menghuraikan dengan angka petunjuk yang lebih terperinci tentang kedudukan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Dua tulisan itu kemudian membuka polemik tentang “agenda Melayu”, bukan sebagai wacana perkauman tetapi satu isu nasional yang memerlukan campur tangan kerajaan. Hampir di semua akhbar dan majalah utama pada masa itu ada saja perbincangan tentang agenda Melayu. Ketika itu lebih kurang sebulan sebelum perhimpunan agung Umno.

Saya lalu ditugaskan untuk wawancara Pak Ungku. Saya dapat temu janji pada petang Jumaat. Pak Ungku tidak banyak bertanya, terus saja bersetuju, ketika diberitahu Mingguan Malaysia mahu kupasan dan pandangannya tentang tulisan Norraesah. Saya pergi seorang. Saya diminta tunggu di tepi kolam renang.

Seperti sebelumnya, saya tidak lama menunggu. Pak Ungku muncul di tepi kolam renang – seperti selalu dengan raut wajah ceria dan tersenyum. Di tangannya ada sebuah dokumen tebal. Berjilid. Pada mata saya, cukup tebal. Hampir dua inci tebalnya.

“Ini laporan Mapen II,” katanya, merujuk pada laporan yang beliau bentangkan kepada Majlis Perundingan Ekonomi Negara II.

Pak Ungku antara anggotanya; duduk dalam jawatankuasa kerja pembasmian kemiskinan.

“Penyelesaiannya sudah ada dalam laporan ini tetapi kita selalu mahu mencari cara-cara baru,’’ katanya.

Laporan itu antara lain memuatkan cadangan Pak Ungku bahawa untuk berjaya, seseorang itu mesti sekurang-kurangnya makan sebiji telur seminggu.

Dalam wawancara itu, Pak Ungku bercakap tentang dua perkara yang harus ada pada orang Melayu kalau mahu maju – pendidikan yang bermutu dan pemakanan yang seimbang. Dia bercakap tentang saiz badan orang Melayu yang kecil. Dia bercakap tentang pemimpin Melayu yang tidak mahu betul-betul mengupas dan mencari penyelesaian kepada isu kemiskinan jiwa dan fizikal anak bangsa.

“Mereka mengelak daripada menyentuh isu yang sebenarnya relatif iaitu kemiskinan, kekurangan fizikal dan kelemahan mental,” katanya.

Namun lebih penting lagi, beliau menyebut buku Za’ba, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri dan hubung kaitnya dengan sikap orang Melayu yang juga beragama Islam. Kononnya beragama tetapi hanya mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan tentang umat, dan selebihnya, tidak pula melihat salah pada rasuah.

“Buku itu pada saya cukup relevan untuk dibaca semula pada hari ini oleh semua orang Melayu,” katanya.

Selepas wawancara selesai, Pak Ungku minta saya tunggu sebentar. Katanya, dia mahu naik dan akan turun semula. Dia membawakan bukunya Jejak-Jejak di Pantai Zaman, yang kemudian ditandatanganinya.

“Bacalah buku ini. Saudara akan lebih faham tentang Za’ba,” katanya.

Dia kemudian bercerita tentang Za’ba dan pemikirannya dalam dua rencana yang dimuatkan dalam buku itu. Rencana dengan tajuk Kemiskinan Orang Melayu dan Jalan Keselamatan Bagi Orang Melayu tersiar di akhbar Al-Ikhwan pada 1927.

Pak Ungku juga bercerita tentang derita batin Za’ba – yang beliau sebut sebagai “ratapan jiwa” – kerana didera oleh tali barut Britain yang mahu mengekang kesedaran semangat kebangsaan melawan penjajah.

Melayu unggul

Beberapa bulan kemudian, Umno menamakan Pak Ungku sebagai tokoh Melayu terbilang, yang diberikan sempena ulang tahun parti yang ke-59 pada 11 Mei. Abdullah yang juga presiden Umno ketika itu memimpin dengan cita-cita mahu Malaysia dan rakyatnya jadi “cemerlang, gemilang dan terbilang”.

Sekali lagi, saya diminta menemubual Pak Ungku – tentang peribadi unggul. Kali ini dia menyuruh saya naik ke rumahnya, tidak lagi berbual di tepi kolam renang.

“Saya sebenarnya takut. Secara peribadi (anugerah) ini membimbangkan saya kerana menjadi terbilang bermakna lebih tinggi daripada orang lain.

“Saya tidak fikir sesiapa saja yang berjaya suka merasakan dirinya lebih tinggi daripada orang lain, melihat semua orang lain duduk di bawah,” katanya, ketika membuka sembang di ruang tamu rumahnya.

Sekali lagi kemudiannya dia menyebut tentang Za’ba dan buku Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Sekali lagi juga dia bercakap tentang orang Melayu badannya mesti lebih besar. Orang yang berjaya badannya besar, tinggi dan dadanya bidang. Pemakanan yang baik bukan saja membentuk tubuh badan yang sihat tetapi membina otak yang cerdas, katanya.

Dia bercakap tentang makanan tambahan di sekolah. Dia bercakap tentang makanan seimbang. Dia bercakap tentang makan telur sekurang-kurangnya sebiji seminggu. Dia bercakap tentang menjaga kesihatan dengan bersukan. Seterusnya, sekali lagi dia bercakap tentang pendidikan.

Wawancara dengan tajuk Hidup bukan Que Sera, Sera disiar di Mingguan Malaysia pada 15 Mei, 2005.

Orang Melayu boleh jadi unggul, katanya, tetapi dengan syarat. Orang Melayu yang sudah berjaya mesti membantu anak bangsanya untuk juga berjaya. Jangan jadi macam enau dalam belukar. Mesti ada semangat wira. Tidak tahu takut. Pantang berundur. Mesti jadi perkasa. Mesti jujur, amanah, berkata benar, berhemah, bekerja keras dan ada semangat tinggi.

Semua nilai itu ada pada orang Melayu, kalau tidak tak mungkin lahir peribahasa yang merakamkan ketinggian peribadi, katanya.

“Genggam bara api biar jadi abu. Kita jangan jadi bangsa hangat-hangat tahi ayam,” tambahnya.

Namun pada akhirnya, Pak Ungku kembali kepada pesan Za’ba. Kalau mahu jadi unggul, mahu berjaya atau mahu jadi apa pun, terserah masing-masing. Pokoknya, bergantung pada diri sendiri.

Katanya, baca buku Za’ba.

“Buku Za’ba itu bacaan wajib untuk semua orang Melayu.” – 17 Disember, 2020.

* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen