Malaysia Airlines masih runding tempahan 25 pesawat Boeing 737 MAX


Ragananthini Vethasalam

Pada Januari, MAB umum tangguh penerimaan penghantaran tempahan 737 MAX yang dijadualkan tahun ini, susulan dua nahas membabitkan pesawat itu. – Gambar EPA, 17 Disember, 2020.

PENTADBIRAN Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) sudah memberi kelulusan untuk Boeing 737 MAX kembali terbang tetapi Malaysia Airlines Bhd (MAB) masih bimbang tentang isu keselamatan dan berbincang dengan Boeing berkenaan penggantungan tempahan 25 pesawat.

MAB memberitahu The Malaysian Insight walaupun FAA AS sudah menarik balik arahan menggantung operasi 737 MAX, arahan pendaratan terhadap pesawat itu dikekalkan dan untuk kembali beroperasi, ia tertakluk kepada kelulusan pengawal selia global di mana Malaysia Airlines beroperasi, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Sehingga itu, usaha wajar teknikal kami dan perbincangan dengan Boeing masih diadakan,” katanya.

Syarikat penerbangan negara itu menyemak semula tempahannya bernilai AS$2.75 bilion (RM11.5 bilion) susulan masalah keselamatan selepas dua insiden pesawat terhempas membabitkan Boeing 737 MAX.

Nahas itu membabitkan 737 MAX milik syarikat penerbangan Indonesia, Lion Air terhempas pada Oktober 2018, dan kurang enam bulan kemudian, pesawat jenis sama milik Ethiopian Airlines terhempas pada Mac 2019.

Semua penumpang dan anak kapal kedua-dua pesawat – 346 kesemuanya terbunuh.

MAB dijadualkan menerima 737 MAX pertama pada Julai tahun ini.

Bagaimanapun, pada Januari, ia mengumumkan akan menangguhkan penerimaan penghantaran tempahan 737 MAX yang dijadualkan tahun ini, berkata keutamaan syarikat itu ialah keselamatan operasi dan pelanggan.

“Malaysia Airlines melihat keselamatan operasinya dan pelanggan sebagai keutamaan dan mengalu-alukan langkah Boeing untuk menambah baik prosedur bagi memastikan operasi 737-MAX selamat.

“Memandangkan pelbagai pihak berkuasa belum jelas lagi berkenaan bila akan kembali beroperasi, ketekunan wajar teknikal kami masih berterusan.

“Susulan pemberhentian pengeluaran dan penangguhan kembali beroperasi 737-MAX, Malaysia Airlines menggantung penghantaran pesanannya yang sepatutnya pada 2020,” kata syarikat pernebangan itu kepada The Malaysian Insight pada Januari.

Boeing sedang berdepan tekanan kewangan berikutan Boeing 737 MAX dihentikan operasi sejak Mac 2019 selepas tragedi berkembar itu.

FAA mengarahkan Boeing untuk melakukan ubah suai terhadap pesawatnya dan melaksanakan protokol baharu latihan juruterbang.

Pembuat pesawat itu pada Mei mengumumkan ia akan menyambung semula pengeluaran 737 MAX pada kadar rendah susulan dua nahas berkenaan yang menyebabkan syarikat pesawat global itu diarahkan henti operasi oleh pengawal selia.

Boeing berkata kerja pengeluaran MAX kini bersambung semula di kilang syarikat itu di Renton, Washington dengan pelaksanaan inisiatif bagi meningkatkan keselamatan tempat kerja dan kualiti produk.

Pada 18 November, FAA meluluskan untuk pesawat itu kembali beroperasi selepas kerja naik taraf dilakukan. – 17 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen