Malaysia catat 429 kes keseluruhan korban Covid-19 


Noel Achariam

Noor Hisham berkata Sabah mencatat lima kematian yang melibatkan tiga warga asing dan dua penduduk tempatan, sementara baki dua kematian adalah dari Selangor dan Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 16 Disember, 2020

ANGKA kematian akibat jangkitan Covid-19 di Malaysia terus meningkat dengan tujuh kematian baharu dilaporkan dalam masa 24 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa tujuh kematian yang dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian menjadi 429 orang.

“Di Sabah terdapat lima kematian yang melibatkan tiga warga asing dan dua penduduk tempatan, sementara baki dua kematian adalah dari Selangor dan Kelantan,” katanya semasa sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau turut menambah kesemua tujuh mangsa merupakan warga emas yang memiliki komplikasi penyakit.

“Di Selangor seorang lelaki berusia 66 tahun menghidap diabetes dan masalah buah pinggang, sementara seorang wanita berusia 52 tahun mempunyai tekanan darah tinggi dan diabetes.

“Di Kedah pula, seorang wanita berusia 52 tahun mempunyai tekanan darah tinggi dan diabetes, sementara seorang wanita berusia 77 tahun dari Sabah juga menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi.”

Berhubung kes melibat tiga warga asing di Sabah, Noor Hisham berkata lelaki berusia 57 dan 58 tahun tidak memiliki gejala sementara lelaki berusia 76 tahun mempunyai masalah jantung dan tekanan darah tinggi. – 16 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen