PN 'khianat' Pulau Pinang tamatkan perkhidmatan feri, kata DAP


Aminah Farid

Lim Guan Eng berkata, menamatkan perkhidmatan feri akan menghilangkan tarikan untuk melawat Pulau Pinang terutama apabila George Town memegang gelaran Bandar Warisan Dunia Unesco. – Gambar Wikipedia, 16 Disember, 2020.

KEPUTUSAN Putrajaya untuk menamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang berusia 126 tahun telah mengabaikan warisan dan sejarah unik pulau itu, kata Setiausaha Agung DAP dan mantan ketua menteri Lim Guan Eng.

“Pendekatan kejam ini sama sekali mengabaikan warisan dan sejarah unik Pulau Pinang, sebuah negeri yang turut menjana ekonominya daripada industri pelancongan,” kata Lim yang juga ahli Parlimen Bagan.

Beliau berkata bahawa Pulau Pinang “dikhianati” pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dan MCA kerana tidak menghormati komitmen Pakatan Harapan sebelum ini.

Kerajaan PH telah memindahkan perkhidmatan feri Pulau Pinang kembali ke Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Prasarana Bhd, dengan persefahaman bahawa perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik mesti dikekalkan bersama dengan pembayaran tunai sebagai insentif.

Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) mengumumkan bahawa perkhidmatan feri yang mengangkut penumpang dan kenderaan antara pulau dan daratan akan berhenti beroperasi dari 1 Januari 2021, dan akan digantikan bot laju yang hanya membawa pejalan kaki, basikal dan motosikal.

Pengerusi PPC Tan Teik Cheng berkata pelaksanaannya akan dilakukan PPSB kerana syarikat itu akan mengambil alih perkhidmatan feri Pulau Pinang.

“Bukan hanya orang Pulau Pinang tetapi ramai rakyat Malaysia yang gemar menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang sedih dengan kewajaran kerajaan PN untuk menghentikan perkhidmatan feri,” katanya.

Lim berkata, menamatkan perkhidmatan feri akan menghilangkan tarikan untuk melawat Pulau Pinang dengan cara tradisional, terutama apabila George Town memegang gelaran Bandar Warisan Dunia Unesco.

“Warisan dan sejarah adalah sesuatu yang tidak dapat dibeli oleh wang dan harus dihargai untuk generasi akan datang.”

Lim berkata dalam usaha menyelamatkan perkhidmatan feri, kerajaan Pulau Pinang telah menawarkan untuk mengambil alih seluruh perkhidmatan pengangkutan air dan perkhidmatan feri Pulau Pinang pada tahun 2015 dengan menanggung kosnya.

Namun, katanya Kementerian Pengangkutan pada tahun 2016 menolak untuk memberikan kuasa penuh kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan berkeras untuk melaksanakan pengawalseliaan terhadap pengangkutan air dan perkhidmatan feri di Pulau Pinang, walaupun Kementerian Pengangkutan tidak memenuhi undang-undang tersebut.

“Ini bukan kali pertama orang Pulau Pinang dikhianati kerajaan PN.

“RM100 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 untuk membina kereta kabel di Bukit Pulau Pinang (Bukit Bendera) juga dihentikan.

“Begitu juga, jaminan pinjaman bank yang dijanjikan oleh kerajaan PH sebelumnya untuk membina LRT untuk mengatasi kesesakan lalu lintas kronik di Pulau Pinang dan Seberang Perai juga dibatalkan.

“DAP mendesak Kementerian Pengangkutan untuk lebih berhati perut, untuk tidak meninggalkan Pulau Pinang dan perkhidmatan feri ikoniknya. Banyak negara asing masih mengekalkan perkhidmatan feri walaupun mungkin tidak ekonomik kerana nilai intrinsik dan nilai tidak ketara terhadap warisan dan sejarah,” tambah Lim. – 16 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen