KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) perlu meluaskan ujian saringan Covid-19 supaya setiap kontak kepada individu terjangkit diuji serta-merta bagi membendung penularan virus itu, kata Rajiv Rishyakaran.
Adun Bukit Gasing itu berkata KKM perlu mengguna pakai dasar di mana mereka yang mengisytiharkan diri sebagai kontak perlu menjalani ujian saringan serta merta.
“Ini bertentangan dengan sistem pada masa ini di mana individu dikenal pasti sebagai kontak rapat akan dihubungi untuk datang menjalani ujian saringan yang dijadualkan, di mana ia mungkin berhari-hari selepas pesakit didiagnosis.
“Dalam tempoh beberapa hari itu, jumlah jangkitan mungkin jadi berganda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujian saringan secara besar-besaran perlu dilakukan kerana Malaysia terus melaporkan angka empat digil jangkitan harian, katanya.
Penularan juga berlaku di kilang.
“KKM perlu segera ke kawasan ini serta merta apabila berlaku jangkitan untuk mencegah penularan lebih besar.”
Penularan di kilang Top Glove pada 26 November misalnya, menjadikan jumlah jangkitan 1,067 daripada keseluruhan kes 1,884 di seluruh negara.
“Bagaimana ia menular dengan cepat dalam tempoh singkat jika kontak rapat dikesan dan ujian dijalankan di kilang?”
Rajiv berkata pekerja di kilang itu menjalani aktiviti harian mereka seperti biasa, tanpa sedar mereka sudah dijangkiti virus kerana tidak bergejala atau bergejala sedikit, seperti dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Ini sebabnya saya menggesa definisi kontak rapat diluaskan dan ujian saringan besar-besaran dilakukan terhadap setiap orang kerana kebanyakan pembawa hanya menunjukkan simptom sederhana atau tiada bergejala langsung.
“Ujian saringan besar-besaran akan membolehkan kita mengenal pasti pesakit bergejala sederhana atau tidak bergejala, jadi rantaan jangkitan dapat diputuskan lebih cepat.” – 16 Disember, 2020.
Komen