PELBAGAI kontroversi melanda Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak digunakan pada 2014, daripada proses pembinaan yang tertangguh kepada kos yang melonjak naik sehinggalah kepada masalah banjir.
Minggu lepas, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan kenaikan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) atau cukai lapangan terbang di klia2, sebuah lagi masalah baru yang menambah kemelut kontroversi lapangan terbang itu.
Menjelang 1 Januari 2018, PSC untuk semua penerbangan antarabangsa dari mana-mana lapangan terbang di Malaysia akan dikenakan caj RM73. Caj semasa adalah RM50 untuk penerbangan antarabangsa bukan Asean dari klia2.
Mavcom mengatakan cukai lapangan terbang itu terpaksa dinaikkan daripada kadar yang dikenakan kepada Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) disebabkan kos operasi yang lebih tinggi di klia2.
Tetapi pengkritik mengatakan kenaikan itu tidak berasas, memandangkan pelbagai masalah yang dihadapi klia2 sejak belum dibuka sehinggalah kini.
Sejak dibuka, klia2 terus dilanda masalah
Diumumkan sebagai pengganti kepada LCCT, klia2 pada mulanya dirancang hanya menelan belanja RM1.7 bilion seperti mana diumumkan oleh bekas Menteri Pengangkutan Ong Tee Keat pada Julai 2007.
Bagaimanapun, selepas beberapa semakan bajet, Parlimen akhirnya dimaklumkan pada Oktober 2012 oleh bekas Timbalan Menteri Pengangkutan Abdul Rahim Bakri yang kos akhir pembinaan lapangan terbang itu adalah RM4 bilion- meningkat hampir 2.5 kali ganda berbanding bajet asal.
Pendedahan itu menyebabkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memulakan siasatan ke atas klia2 pada November 2013. Laporan PAC disiapkan pada November 2014 dan dibentangkan di Parlimen.
Selain kos yang melonjak tinggi, beberapa penangguhan pembinaan juga berlaku dalam proses pembinaan yang dijadualkan siap pada Jun 2013 tetapi hanya mula membuka landasannya pada Mac 2014.
Maka bermulalah rentetan masalah yang melanda lapangan terbang itu.
Sejak klia2 memulakan operasi, lapangan itu dijerut pelbagai masalah mendapan tanah dan perkhidmatan yang tidak memuaskan. Lapangan terbang itu, kata pengkritik lagi, sentiasa perlu dibaik pulih walaupun masih baru siap.
Tidak lama selepas ia mula beroperasi, sebuah video tular di media sosial menunjukkan banjir berlaku di hangar klia2, kawasan pesawat diletakkan untuk menurun dan mengambil penumpang atau kargo, mengisi mintak, parkir atau seliaan teknikal.

Pada 2015, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes menerusi akaun Twitternya menunjukkan sebahagian kawasan lapangan terbang itu digenangi air.
Kemarahan ramai mula memuncak apabila tanah tempat lapangan terbang itu dibina mendap, menyebabkan jawatankuasa lima orang panel audit bebas dibentuk Kementerian Pengangkutan untuk menyiasat perkara itu.
Hasil siasatan jawatankuasa mendapati masalah mendapan dan lecak di lapangan terbang itu memang dijangka, dan pengendalinya, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mengatakan kerja-kerja baik pulih akan diteruskan.
Klia2 terletak 2 kilometer dari terminal utama, yang dihubungkan dengan keretapi dan mampu menampung 45 juta pengguna setahun.
Kenaikan caj untuk lapangan terbang bermasalah
Walaupun kenaikan PSC mungkin kelihatan tidak seberat masalah lain yang melanda lapangan terbang itu, pengkritik mengatakan kenaikan cukai dan masalah awal yang dihadapi klia2 saling berkaitan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa yang peningkatan daripada RM50 kepada RM73 adalah untuk menyelamatkan MAHB daripada hutang pinjamannya yang mencecah lebih RM5 bilion.
Katanya, masalah reka bentuk dan pembinaan klia2 menyebabkan kosnya naik melonjak.
“Ini termasuklah faedah kos yang lebih tinggi disebabkan pinjaman lebih besar diambil untuk menampung kos berlebihan yang bernilai berbilion ringgit, kos baik pulih yang tinggi disebabkan pemendapan tanah yang berterusan sehingga kini serta kos proses naik taraf bagi membendung masalah di lapangan terbang itu,” kata Pua kepada The Malaysian Insight.
Katanya, “kenaikan besar” PSC di klia2 bukanlah untuk menampung kos operasi berteknologi tinggi, tetapi sebenarnya menampung kerugian yang dialami pengendali lapangan terbang.
“Yang rugi adalah rakyat Malaysia dan industri tambang rendah kita,” katanya. – 23 Disember, 2017.

Komen