Kes Covid-19 Malaysia bakal atasi China, kata Kit Siang


Malaysia mencatatkan lebih 1,000 kes baharu Covid-19 setiap hari sejak akhir November, kecuali berlaku penurunan pada 2 Disember apabila 851 kes direkodkan dan pada 12 Disember dengan 959 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2020.

MALAYSIA akan mengatasi kedudukan China dengan lebih banyak kes terkumpul Covid-19 direkodkan tidak lama lagi, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

“Malaysia kini berada di kedudukan ke-80 di antara negara-negara di dunia dengan jumlah kes Covid-19 terkumpul, iaitu sebanyak 83,475 kes berbanding dengan China, di kedudukan No. 79, dengan 86,725 kes.

“Semalam, Malaysia mencatatkan peningkatan harian sebanyak 1,229 kes, walaupun satu penurunan berbanding dengan angka pada hari sebelumnya (1,937 kes), peningkatan ini masih berada dalam julat empat angka sepertimana pada 10 Disember (2,234 kes) dan 11 Disember (1,810 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata Malaysia boleh mengatasi China sama ada hari ini atau esok.

Malaysia mencatatkan lebih 1,000 kes baharu Covid-19 setiap hari sejak akhir November, kecuali berlaku penurunan pada 2 Disember apabila 851 kes direkodkan dan pada 12 Disember dengan 959 kes.

Rekod harian tertinggi negara ketika ini adalah 2,234 kes baharu pada 10 Disember. 

Pada hari berikutnya Malaysia melepasi ambang 80,000 dengan 1,810 jangkitan baharu.

“Malaysia bakal mengatasi China dalam jumlah kes Covid-19 adalah petanda buruk bagi kerajaan Muhyiddin dan sistem kesihatan awam di Malaysia, semestinya menjadi penyebab rakyat Malaysia terpaksa menerima kesan pandemik Covid-19 dengan lebih serius,” katanya.

Menurutnya beliau kecewa kerana Dewan Rakyat sehingga saat ini masih gagal menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid19 untuk mengadakan pendengaran awam dan melibatkan pemikir-pemikir terbaik dalam negara dalam perang melawan wabak Covid-19.

Beliau berkata jumlah kes yang tinggi juga adalah kegagalan Putrajaya dalam mengguna pakai pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19 ini.

Pelbagai kumpulan khususnya persatuan perubatan mendesak kerajaan memanfaatkan sumber kemudahan kesihatan swasta yang dianggap “kurang digunakan” pada masa ini dalam memerangi Covid-19.

Kemudahan ini dapat digunakan untuk memperluaskan lagi pemeriksaan dan rawatan untuk mengurangkan beban di hospital awam. – 15 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen