PEMIMPIN kanan Pentagon Christopher Miller salah seorang antara rakyat Amerika Syarikat (AS) terawal yang akan menerima vaksin Covid-19, dan ia akan dirakamkan bagi menggalakkan orang ramai mengikuti langkahnya itu.
Pemangku setiausaha pertahanan itu menerima suntikan di hospital tentera Walter Reed di Washington, menurut video disiarkan oleh Pentagon.
“Itu sajakah? Tak sakit langsung!,” kata Miller berlawak ketika menerima vaksin berkenaan, yang menjadi simbol harapan kepada negara yang teruk terjejas akibat pandemik itu.
AS mencatat lebih 300,000 kematian kerana Covid-19, semalam.
Pentagon minggu lalu mengumumkan setiausahanya dan pegawai tertinggi tentera akan mendapat suntikan vaksin secara sukarela dan terbuka bagi membantu menyebarkan mesej tentang keberkesanan dan keselamatan rawatan itu.
Kempen vaksin AS, terbesar dalam sejarahnya, memberi keutamaan kepada pekerja kesihatan dan barisan hadapan serta rumah penjagaan warga tua.
Hampir tiga juta dos diagihkan, dengan sasaran untuk memberi vaksin kepada 20 juta rakyat AS menjelang akhir Disember dan 100 juta lagi pada akhir Mac. – AFP, 15 Disember, 2020.
Komen