Kanada mula beri suntikan vaksin Covid-19


Kakitangan perkhidmatan penghantaran UPS tiba dengan kotak yang mengandungi vaksin Pfizer-BioNTech Covid di Kanada. – Gambar EPA, 15 Disember, 2020. 

SEORANG pengasuh Ontario dan warga emas di Quebec semalam menjadi individu pertama yang menerima vaksin Covid-19 di Kanada.

Anita Quidangen menerima suntikan di sebuah hospital di Toronto sebahagian daripada kempen vaksin besar-besaran di Kanada, kurang dari seminggu selepas Pfizer-BioNTech meluluskan permohonan di negara itu.

Seorang lagi Gisele Levesque, 89, diberi vaksin di rumah persaraan di Kota Quebec namun prosedurnya tidak ditayangkan di televisyen, kata Menteri Kesihatan Quebec Christian Dube.

Anita yang bekerja pusat penjagaan orang tua di Toronto berkata beliau sangat teruja menerima vaksin itu dengan begitu cepat.

Ontoria, wilayah terpadat di Kanada dan salah satu kawasan paling teruk dilanda wabak itu mempunyai 1,940 kes baharu dan 23 kematian semalam.

Wilayah itu berharap dapat menerima dos berikutnya untuk pekerja rumah sakit sebagai keutamaan, menurut laporan media.

Quebec juga dijadualkan memberikan vaksin kepada kakitangan dan penduduk dua rumah persaraan di Montreal dan Quebec City.

Di kedua-dua wilayah kebanyakan kes kematian dalam gelombang pertama berlaku di rumah persaraan.

Kanada, negara ketiga yang mendapat kelulusan vaksin Pfizer selepas United Kingdom dan Bahrain dijangka menerima sehinga 249,000 dos pada akhir bulan ini.

Pihak berkuasa menjangkakan akan menerima enam juga dos vaksin Pfizer dan Moderna – yang terakhir sedang menunggu kelulusan – pada suku pertama 2021 yang membolehkan tiga juta penduduk menerima vaksin berkenaan.

Sebilangan besar penduduk Kanada akan diberi vaksin menjelang September 2021, kata Perdana Menteri Justin Trudeau.

Hampir satu dari dua penduduk Kanada (48 peratus) mahu diberi vaksin “secepat mungkin”, meningkat dari 40 peratus sebulan yang lalu, menurut tinjauan dalam talian melibatkan 1,603 penduduk Kanada yang dilakukan oleh Institut Angus Reid dari 8 sehingga 11 Disember.

Satu daripada tujuh penduduk Kanada (14 peratus) tidak mahu diberi vaksin.

Gelombang kedua pandemik telah meningkat dalam beberapa minggu terakhir di seluruh negara dengan 464,313 kes koronavirus dan 13,479 kematian dilaporkan di Kanada semalam. – 15 Disember, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen