PEMBALAKAN haram di hutan simpan Kuala Krau, Pahang masih berterusan ketika demonstrasi aman masyarakat Orang Asli tidak diendahkan kontraktor dan kerajaan negeri, kata pengarah Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) Yusri Ahon.
Pembalakan bermula pada Oktober di hutan yang merangkumi kawasan Jerantut dan Temerloh. Malah penduduk Orang Asli tidak diberitahu langsung tentang itu.
Yusri berkata, seorang penduduk Orang Asli memberitahunya mengenai pembukaan tanah pada 18 Oktober dan kemunculan beberapa “tokeh” yang datang ke kawasan itu. Mereka turut mengirim gambar pokok ditebang, diratakan untuk dijadikan jalan.
“Kawasan yang mereka buka nampak baru. Mereka senang-senang saja tebang hutan Kuala Krau,” kata penduduk di situ.
Kini, sembilan kampung yang menempatkan 8,000 orang yang kebanyakannya adalah Orang Asli dari suku Jahut khuatir kehidupan dan sumber mereka akan terjejas sekiranya negeri itu tidak menghentikan pembalakan haram itu.
Penduduk kampung berkata tidak ada seorang pun dari kerajaan negeri atau syarikat pembalakan yang berhubung dengan mereka sebelum mula membalak.
“Tidak ada ketelusan atau perhubungan,” kata Yusri.
Bulan lepas, penduduk kampung mengadakan tunjuk perasaan secara aman berhubung pembalakan yang dijangka meliputi sekitar 60 hektar.
Dalam satu kenyataan bersama ketika tunjuk perasaan itu, mereka berkata, pembalakan akan mengganggu bekalan air untuk Kg Sg Kiol, Kg Sg Mai, Kg Seboi, Kg Pasu, kg Pian dan Kg Terbol.
Ini juga melanggar hak mereka sebagai penjaga tanah untuk melindungi dan memelihara kawasan tadahan air itu.
Pembalakan itu akan memusnahkan tanah dan sumber adat mereka seperti ubat-ubatan tradisional, serta sumber makanan mereka, dan mata pencarian mereka yang diperoleh daripada sumber-sumber ini.
“Kami tentang sangat projek ini dan kami berharap pihak berkuasa akan menghormati keputusan kami untuk melindungi hutan dan ekosistemnya, termasuk mata pencarian kami,” kata penduduk desa dalam kenyataan itu.

Yusri dan sembilan ketua kampung juga telah membuat aduan terhadap pembalak dan jabatan tanah dan daerah di Mahkamah Tinggi Temerloh kerana menceroboh tanah di Kg Sg Mai. Perbicaraan akan berlangsung pada 12 Januari.
Dalam aduan mereka, penduduk kampung berkata tanah adat Kg Sg Mai telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Akta Orang Asli 1954.
“Defendan memelihara dan menjaga kawasan tadahan air Sungai Mai dan Sungai Bertai untuk Tanah Adat Orang Asli Kg Sg Mai dari sebarang aktiviti yang merangkumi aktiviti penanaman dan pembalakan.
“Penduduk kampung di Tanah Adat Orang Asli Orang Asli Kg Sg Mai diberi hak untuk melakukan aktiviti pemburuan dan pengumpulan hasil hutan di Hutan Simpan Krau,” kata aduan itu.
Sebelum itu, Yusri berkata para pemimpin dari semua sembilan kampung juga bertemu dengan pengurus kontraktor yang terlibat bulan lalu untuk menyerahkan surat membantah pembalakan haram.
Memorandum lain turut dihantar kepada salah satu syarikat di Bangkok, sementara surat berasingan bertarikh 24 November telah dihantar ke pejabat Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.
Semua usaha mereka tidak dibalas, kata Yusri.
Surat kepada Menteri Besar Pahang juga disalin dan dikirim ke Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Jabatan Pembangunan Orang Asli, dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
“Kami belum buat laporan kepada Jabatan Alam Sekitar atau Institut Penyelidikan Hutan Malaysia kerana kami ingin berbincang secara damai dengan Menteri Besar terlebih dahulu,” kata Yusri.
Bagaimanapun, menurut pengalamannya, beliau jangka pembalak akan dibenarkan untuk meneruskan dan mungkin mengambil pendekatan yang lebih agresif terhadap penduduk kampung yang berusaha menghalangnya.
Pada 2010, hutan Kuala Krau diwartakan sebagai hutan simpan kerana pokok berusia 1.000 tahun selain kepelbagaian hidupan liar.
Ini bermaksud bahawa pembalakan dilarang di kawasan itu. – 15 Disember, 2020.
Komen