Kenapa Warisan mahu datang ke Semenanjung


Zaim Ibrahim

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berhasrat untuk melebarkan sayap partinya ke Semenanjung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2020.

PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan) Mohd Shafie Apdal mahu bersaing dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang apabila mengumumkan hasrat partinya melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia, kata penganalisis politik.

Mereka melihat hasrat itu juga bayangan kesediaan Shafie untuk menampilkan diri sebagai calon perdana menteri menjelang pilihan raya umum kelak.

Pengarah eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berpendapat kenyataan Shafie bahawa partinya mahu menunaikan permintaan kira-kira 300,000 rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung hanya alasan sahaja.

“Itu hanya alasan, untuk berlindung daripada satu agenda yang lebih besar… kerana hujah pengundi Sabah di Semenanjung tidak begitu kuat, kerana mereka pun mengundi di Sabah.

“Jadi saya rasa tidak ada kaitan secara langsung, tapi ada maksud tersirat yang lebih jauh,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Hisomuddin, Warisan mahu ke Semenanjung untuk jadi alternatif kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) gagasan Dr Mahathir Mohamad yang belum disahkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Warisan mahu menampung sokongan pengundi Pejuang dan Dr Mahathir. 

“Persediaan itu bukan sahaja sebagai ketua pembangkang tetapi sebagai calon perdana menteri,” katanya.

Mohd Shafie Apdal mahu bersaing dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang, kata penganalisis politik.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2020.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi melihat bayangan itu apabila Shafie berani mengkritik kepimpinan Pakatan Harapan (PH),  langkah yang dilihat cuba menonjolkan kemampuannya untuk menggalas peranan sebagai ketua pembangkang dan calon perdana menteri.

“Apabila Shafie kritik kepimpinan PH sebagai gagal sedia hala tuju, ia cara Shafie memposisikan bahawa dia calon boleh ambil peranan tersebut,” katanya.

Dalam sidang media pada Sabtu, Shafie menegaskan kepimpinan PH perlu bertukar kalau hendak meraih kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga menjelaskan kenyataan itu bukan bermaksud mana-mana individu tetapi kepimpinan dalam PH.

Bagaimanapun Awang Azman berpendapat kepimpinan Warisan belum lagi terbukti, walaupun sempat jadi kerajaan di Sabah antara Mei 2018 hingga Julai 2020.

“Warisan sendiri gagal di Sabah apabila kerajaan negeri di bawah Warisan tumbang, jawatan ketua menteri dipegang Shafie hilang, dan banyak kerusi warisan jatuh ke tangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) pada pilhan raya negeri tempoh hari,” tambahnya.

Shafie hilang kuasa di Sabah selepas menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan setelah bekas ketua menteri Musa Aman mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kerajaannya melalui percaturan politik.

Beliau menghentikan gerakan itu dengan menasihati Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan dewan undangan negeri, yang membawa kepada pilihan raya negeri pada 26 September lalu.

Shafie pernah diketengahkan sebagai calon perdana menteri ketika PH membincangkan kedudukannya sebagai calon pilihan kepada Anwar. Cadangan yang dikemukakan oleh Dr Mahathir, Amanah dan DAP itu bagaimanapun ditolak oleh PKR.

Menurut penganalisis, Warisan mahu ke Semenanjung untuk jadi alternatif kepada parti Pejuang gagasan Dr Mahathir Mohamad yang belum disahkan pendaftarannya oleh RoS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2020.

Hanya tiga hari sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah, Anwar mengumumkan beliau mempunyai sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Muhyiddin.

Sementara itu, ahli sains politik di Universiti Teknologi Mara (UTM) Dr Mazlan Ali berkata hasrat Warisan membayangkan ia juga mahu memainkan peranan utama dalam arus politik Malaysia, dan tidak terhad di Sabah sahaja.

Namun, ia bukanlah laluan yang mudah, tambahnya.

“Saya lihat peluang yang sangat tipis Warisan di Semenanjung kerana sifat Warisan sebagai parti identiti Sabah dan perjuangan parti untuk mempertahankan hak-hak orang Sabah.

“Apabila parti ini dibawa ke Semenanjung apakah bentuk perjuangan yang Warisan mahu perkenalkan? Itu satu persoalan.

“Adakah berubah kepada hak-hak rakyat pelbagai kaum di Semenanjung atau bawa perjuangan orang Sabah di Semenanjung?” tanyanya.

Malah, ketidakhadiran ahli Parlimen Warisan ketika proses undi belah bahagian ketika perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa akan menimbulkan syak wasangka antara pemimpin politik di Semenanjung, kata Awang Azman.

“Tindakan Warisan tidak hadir di peringkat jawatankuasa kementerian perbahasan Belanjawan 2021 di Parlimen dilihat bersifat politik iaitu tidak mahu menyokong PH walaupun sama-sama pembangkang.

“Ini akan menyebabkan mereka (ahli politik) di Semenanjung juga lebih berhati-hati untuk menerima kehadiran Warisan yang tidak ada rekod pencapaian di Semenanjung malaysia.

“Di Semenanjung juga, taburan orang Sabah tidak berkelompok. Untuk harapkan orang Sabah di Semenanjung jadi pengundi, sangat sedikit jumlah dan tindakan parokial politik sahaja,” jelas beliau.

Beliau turut beranggapan, Shafie perlu fokus pengundi pelbagai kaum - Melayu, Cina dan India di Semenanjung berbanding pengundi negeri Sabah yang sangat sedikit.

Pada Pilhan Raya Umum Ke-14, Warisan yang menyokong gabungan parti PH berjaya membentuk kerajaan negeri di Sabah. Namun, hayat kerajaan itu tidak lama apabila beberapa wakil rakyat melompat dan menyokong blok pembangkang seterusnya pilihan raya negeri berlaku berlaku September lalu. 

Gabungan Rakyat Sabah yang dibentuk bersama oleh Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai kerjasama khusus dalam pilihan raya negeri menang keseluruhan 38 kerusi dan mendapat dukungan tambahan tiga kerusi yang dimenangi calon bebas.

Daripada jumlah itu, PN menang 17 kerusi sementara BN 14, semuanya melalui Umno, dan PBS 7 kerusi.

Warisan dan sekutunya yang bergabung atas nama Warisan Plus pula menang 32 kerusi.

Warisan juga mempunyai 8 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat selepas wakilnya di Batu Sapi, Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lalu. – 15 Disember, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen