Definisi 'kontak rapat' Malaysia ikut WHO, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Kementerian Kesihatan (KKM) akan memeriksa definisi dari semasa ke semasa. Definisi sekarang yang kita gunakan adalah dari WHO, kata Dr Noor Hisham. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2020.

SETELAH diberitahu bahawa definisi kontak rapat Covid-19 perlu diperluaskan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia menggunakan definisi yang dinasihatkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Setelah membaca definisi terbaharu itu dalam sidang media hari ini, beliau berkata kementerian akan mengkaji semula definisi tersebut dari semasa ke semasa.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan memeriksa definisi dari semasa ke semasa. Definisi sekarang yang kita gunakan adalah dari WHO,” katanya pada sidang media yang hanya terhad kepada RTM yang disiarkan secara langsung.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, KKM perlu memperluaskan definisi hubungan rapat dalam kes Covid-19 supaya lebih ramai orang yang berpotensi terdedah dapat dikenal pasti dan sekali gus mengekang penyebaran virus.

Beliau berkata, definisi kementerian mengenai kontak rapat tidak sebenarnya merangkumi setiap orang yang berdekatan dengan orang yang dijangkiti.

Beliau menyarankan agar kementerian mengambil contoh dari Pusat Pengawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) yang mendefinisikan kontak rapat sebagai “seseorang yang berada dalam jarak 2m dari orang yang dijangkiti selama 15 minit atau selama 24 jam tempoh secara kumulatifnya.”

Di Malaysia, kementerian mendefinisikan kontak rapat sebagai seseorang yang terdedah dengan memberikan rawatan langsung kepada pesakit yang dijangkiti, bekerja dengan pekerja kesihatan yang dijangkiti Covid-19, mengunjungi pesakit atau tinggal di persekitaran yang sama dengan pesakit.

Kementerian juga mendefinisikan kontak rapat sebagai seseorang yang bekerja dalam jarak dekat atau berkongsi persekitaran kelas yang sama dengan pesakit Covid-19, bersama dengan pesakit dalam apa jua pengangkutan, dan mereka yang tinggal di rumah yang sama dengan pesakit. – 14 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen