Top Glove sahkan pekerjanya maut kerana Covid-19


Kilang dan kuarters Top Glove adalah pusat kepada kluster Teratai, yang jumlah kes jangkitannya lebih banyak daripada kluster tabligh Sri Petaling. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2020.

TOP Glove Corp Bhd hari ini mengesahkan seorang pekerjanya meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan Covid-19.

“Yamnarayan Chaudhary Tharu, 29, dari Nepal, meninggal dunia kerana pneumonia dengan fibrosis paru-paru, kesan daripada Covid-19.

“Tharu bekerja di kilang Top Glove di Meru, Klang sejak lebih dua tahun lalu,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tharu meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada Sabtu.

Mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, syarikat itu berkata ia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi urusan pengebumian.

Dilaporkan semalam, Tharu ialah pengawal keselamatan di kilang ke-13 Top Glove di Meru, meninggal dunia selepas syarikat itu menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan di hospital berhampiran pada 21 November.

Kilang dan kuarters pekerja syarikat itu adalah pusat kepada kluster Teratai, yang jumlah kes jangkitannya lebih banyak daripada kluster tabligh Sri Petaling.

Pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia itu minggu lalu berkata lebih 5,000 pekerja di kilangnya di Klang didapati positif Covid-19. – 14 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen