Kementerian perlu perluas definisi ‘kontak rapat’ Covid-19, kata ahli Parlimen


Kementerian Kesihatan perlu memperluas definisi kontak rapat dalam kes Covid-19 bagi membolehkan lebih ramai orang yang berpotensi terdedah dapat dikenal pasti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan perlu memperluas definisi kontak rapat dalam kes Covid-19 bagi membolehkan lebih ramai orang yang berpotensi terdedah dapat dikenal pasti dan penyebaran virus dapat dibendung dengan berkesan, kata Rajiv Rishyakaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing berkata definisi kementerian mengenai kontak rapat sekarang tidak benar-benar merangkumi setiap orang yang sebenarnya berdekatan dengan orang yang dijangkiti.

Beliau menyarankan agar kementerian mengikut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) yang mendefinisikan kontak rapat sebagai “seseorang yang berada dalam jarak dua meter dari orang yang dijangkiti selama 15 minit atau lebih secara kumulatif selama tempoh 24 jam”.

Tempoh 24 jam bermula dari dua hari sebelum bermulanya penyakit atau untuk pesakit tanpa gejala, dua hari sebelum pengumpulan specimen ujian sehingga saat pesakit diasingkan. 

Di Malaysia kementerian mendefinisikan kontak rapat sebagai seseorang yang terdedah dalam memberikan rawatan langsung kepada pesakit yang dijangkiti, bekerja dengan pekerja kesihatan yang dijangkiti Covid-19, mengunjungi pesakit atau tinggal di persekitaran yang sama dengan pesakit.

Kementerian juga mendefinisikan kontak rapat sebagai seseorang yang bekerja dalam jarak dekat atau berkongsi persekitaran kelas yang sama dengan pesakit Covid-19, keluar bersama-sama dengan pesakit dalam apa jua jenis pengangkutan dan mereka yang tinggal di rumah sama dengan pesakit.

“Terdapat perbezaan besar dalam definisi CDC dan Kementerian Kesihatan di sini dengan CDC meliputi lebih ramai orang yang berpontensi terdedah, di mana ia sepatutnya diikut oleh kementerian dan mentakrifkan semula kriteria untuk kontak rapat,” katanya.

Rajiv berkata kementerian juga perlu meningkatkan ujian saringan besar-besaran selain ujian wajib bagi pekerja asing.

“Dengan menyasarkan ujian besar-besaran hanya untuk pekerja asing, kementerian kehilangan gambaran yang lebih besar.

“Kita perlu menguji lebih ramai orang dan satu-satunya cara untuk melakukannya adalah dengan menyediakan lebih banyak ujian dan memperluas definisi serta ruang lingkup istilah kontak rapat,” katanya.

Dengan kelonggaran perintah kawalan pergerakan dan perjalanan antara negeri dibenarkan, semakin ramai orang berisiko dijangkiti atau menjangkiti orang lain. – 14 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen