Ahli Parlimen Kimanis nafi sokong Anwar jadi PM


Penafian itu dibuat berikutan laporan sebuah televisyen swasta hari ini mendakwa Presiden PKR itu telah meraih SD, dalam kalangan ahli parlimen termasuk 10 daripadanya adalah dari Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2020.

AHLI Parlimen Kimanis Mohamad Alamin menyangkal dakwaan bahawa beliau ‘sebahagian’ daripada wakil rakyat Umno yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Mohamad berkata, perkara itu (akuan bersumpah) adalah tidak benar sama sekali, dan sebagai seorang peguam beliau faham akan kesan dan niat sesuatu SD itu dibuat.

“Saya ingin menyatakan seperti berikut, bahawa saya menafikan telah menandatangani SD dengan niat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan media, di Kota Kinabalu malam ini.

Penafian itu dibuat berikutan laporan sebuah televisyen swasta hari ini mendakwa Presiden PKR itu telah meraih SD, dalam kalangan ahli parlimen termasuk 10 daripadanya adalah dari Umno.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin, turut menyangkal dakwaan yang sama. – Bernama, 13 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen