MALAYSIA hari ini merekodkan enam kluster Covid-19 baharu, menjadikan kluster aktif sebanyak 191.
Kluster tempat kerja pertama, Rimbun, dijejaki di Seremban, Negeri Sembilan merupakan kluster tapak pembinaan.
Sehingga kini, 16 didapati positif daripada 206 orang yang disaring dalam kluster ini.
Kluster tempat kerja kedua ialah Hujung Pasir, dijumpai di Labuan. Sejumlah 143 individu telah disaring dan lima daripadanya dilaporkan positif.
Kluster tempat kerja ketiga ialah Tanjung Suria, yang merebak sehingga ke beberapa kawasan di Selangor termasuk Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
Setakat hari ini, sejumlah 8,480 orang telah disaring dalam kluster ini dan 31 daripadanya didapati positif Covid-19.
Kluster tempat kerja keempat digelar Kuala melibatkan kawasan di Kuantan, Pahang.
Dalam kluster ini, kesemua 26 orang yang disaring didapati positif.
Kluster kelima ialah Lestari, terkait dengan kumpulan berisiko tinggi di Petaling, Hulu Langat, Klang dan Sepang di Selangor, selain kawasan lembah Pantai di Kuala Lumpur.
Sejumlah 351 orang yang disaring dalam kluster Lestari, 31 daripadanya didapati positif.
Kluster terbaharu yang terakhir digelar Desa Idaman, melibatkan kawasan Kulai di Johor dan disebut juga sebagai kluster berkaitan agama.
Tiada penjelasan lanjut tentang kluster ini namun Kementerian Kesihatan berkata, lapan orang diadapti positif Covid-19 daripada 52 orang yang disaring.
Enam kluster baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster di Malaysia sebanyak 416, di mana 191 kluster masih aktif dengan 52 kes positif baharu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster-kluster melaporkan kes yang tinggi iaitu Tembok (103), Seruling (93) dan Rumah Merah (78).
Dalam masa dama, empat kluster dilaporkan tamat hari ini. Kluster tersebut adalah Wisma Saberkas di Sarawak, Sauh dan Basung di Sabah dan Auto di Selangor. – 13 Disember, 2020.
Komen