BUKANLAH perkara asing untuk melihat sekumpulan sukarelawan melawat pasar raya Tesco di Pulau Pinang dan Kedah ketika hampir waktu tutup operasinya dan membawa keluar barangan yang tidak habis dijual tetapi masih segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, roti serta makanan lain.
Ia adalah sebuah gerakan yang diusahakan sekumpulan sukarelawan program bank makanan di Pulau Pinang yang sangat berjaya walaupun mungkin kurang dikenali, Bank Makanan Mutiara.
Program itu secara dasarnya digerakkan dengan mengumpul makanan yang tidak terjual daripada penderma dan menyerahkan kepada mereka yang memerlukan mengikut giliran yang ditetapkan.
Baru sahaja dilancarkan April lalu, tidaklah mengejutkan sekiranya ia masih belum dikenali banyak pihak, walaupun program sudah berbakti kepada hampir 7,000 penerima di seluruh Pulau Pinang.
Ketua Program, Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka sengaja tidak menghebahkan program itu sehingga bank makanan- yang pertama seumpamanya apabila kerajaan negeri bertindak sebagai penasihat dan Yayasan Bantuan Makanan (FAO) sebagai perunding- terbukti berjaya.
“Kebajikan adalah minat saya, selain pendidikan. Saya mahu buat projek, tetapi Pulau Pinang sudah ada program kebajikan yang baik dan berjaya.
“Mereka yang memerlukan sudah dapat bantuan tunai di bawah program i-Sejahtera. Saya perlukan projek yang tak libatkan bantuan wang tunai,” kata Saifuddin yang sebelum ini memulakan program skim insuran untuk warga emas Takaful Kifalah di Kelantan apabila beliau mengetuai Yayasan Amanah Tok Kenali di bawah kerajaan negeri pimpinan PAS pada 2004.
Idea bank makanan itu tercetus apabila setiausaha agung PKR itu bertemu Pengasas Bersama FAO, Rich Chee. Saifuddin mengatakan beliau terfikir yang bank makanan itu akan melengkapkan inisiatif kebajikan sedia ada di Pulau Pinang.
“Chee bersetuju untuk melatih kami. Saya bentangkan idea kepada ketua menteri yang bersetuju tetapi menetapkan garis panduan supaya (program ini) tidak menggalakkan (wujudnya) gelandangan,” katanya.
Penderma, penerima dan sukarelawan
Memandangkan Tesco Malaysia sudahpun menjalinkan kerjasama dengan FAO, pasar raya itu bersetuju untuk membekalkan makanan yang tidak terjual tetapi masih elok seperti sayur-sayuran, buah-buahan, roti dan lain-lain kepada Bank Makanan Mutiara.
Bagi mengenal pasti penerima yang layak untuk program itu, Saifuddin bekerjasama dengan seorang lagi pegawai di Pejabat Ketua Menteri- Ab Wahab Long yang menguruskan Agenda Ekonomi Saksama (AES) negeri dan tugas-tugas khas.
Mereka menyemak senarai penerima Zakat Pulau Pinang (ZPP), Jabatan Kebajikan Negeri, AES dan kumpulan B40.
“Melalui ZPP, kami menemui 3,000 orang miskin tegar dan 7,000 orang miskin yang latar belakang mereka sudah disahkan,” kata Saifuddin.
“Daripada agensi kebajikan lain pula, kami menemui 1,500 orang lagi. Kemudian, kami periksa di mana mereka tinggal,” katanya.
Bank Makanan Mutiara akan menghantar makanan itu kepada keluarga yang memerlukan, mengikut giliran yang dibuat berdasarkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Saifuddin dan Wahab meminta bantuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), jawatankuasa masjid serta Adun negeri itu yang lebih mengetahui keluarga manakah yang memerlukan bantuan makanan dalam kawasan masing-masing.
“Mereka inilah yang menjadi sukarelawan untuk mengutip makanan, menyusun di pusat kutipan dan mengedarkan makanan kepada penerima.

“Kami lantik seorang pengurus logistik, dan mewujudkan pusat kutipan di Kepala Batas, Penanti dan di pusat khidmat wakil rakyat dan (lantik) penyelaras,” kata Saifuddin lagi.
Wahab mengatakan JKKK terlibat mengendalikan senarai penerima yang juga dimaklumkan kepada bank makanan itu supaya lokasi penerima diketahui pihak pengurusan program.
“Kami perlukan maklumat untuk elak masalah. Jika ada penerima warga emas, kita tak boleh beri bahan mentah dan minta mereka masak. Lebih baik bagi makanan siap dan buah-buahan.
“Kerana kita berurusan dengan makanan, kita perlu lebih berhati-hati untuk elak masalah seperti keracunan makanan,” katanya.
Bagi memastikan semua pihak terlibat memahami peranan mereka, latihan dengan FAO di kawasan DUN masing-masing diadakan pada waktu malam.
Kejayaan dalam diam
Pada April, bank makanan itu memulakan langkah pertama di tiga kawasan DUN di Permatang Pauh dengan mengutip makanan tidak terjual dari Tesco di Alma, Seberang Jaya dan Kulim.
“Jika Tesco dapat jual banyak, kami kumpul sikit. Ada hari kami dapat 70kg makanan. Hari lain kami pernah kumpul 800kg,” kata Saifuddin.
Kini, Bank Makanan Mutiara membantu hampir 7,000 orang di enam DUN di Seberang Perai Pulau Pinang, dan empat DUN di kawasan pulau. Ia mempunyai 13 penderma, termasuklah Tesco di Sungai Petani, Kedah; dan menggaji 11 orang, meningkat berbanding jumlah awal hanya 3 orang.
Saifuddin berkata program itu akan dilaksanakan sepenuhnya tahun depan, dan lebih ramai rakan kerjasama dan penderma sudah dikenal pasti.
Selepas perjanjian persefahaman (MoU) dengan FAO, Persatuan Hotel dan Chef Pulau Pinang juga sudah memberikan persetujuan untuk membantu.
“Lebihan makanan dari hotel akan dikutip, dihantar kepada dapur pusat, dibekukan dan kemudian dipanaskan untuk dihantar kepada penerima.
“Chef akan melatih pasukan kami bagaimana untuk mengendalikan makanan yang sudah dimasak dengan betul,” kata Saifuddin.
Katanya lagi, lebih ramai sukarelawan diperlukan memandangkan program itu sedang berkembang.
“Ramai yang mahu jadi penderma, seperti syarikat katering terbesar di Pulau Pinang. Jadi, cabarannya adalah untuk menyakinkan lebih ramai orang untuk jadi sukarelawan,” katanya.

Usaha yang memuaskan
Saifuddin berkata ganjaran paling besar adalah melihat projek kerdil yang tidak melibatkan banyak wang berkembang seterusnya dapat membantu lebih ramai orang.
“Di satu sisi, ada orang susah. Di satu sisi lain, banyak makanan dibuang ke tapak pembuangan sampah.
“Dengan program ini, kita boleh selamatkan makanan dan membantu keluarga susah untuk jimatkan sedikit wang.”
“Jika awak tolong sebuah keluarga jimatkan RM20 untuk beli makanan hari ini, esok ibu bapa boleh beri anak-anak mereka duit belanja untuk sekolah,” katanya. – 23 Disember, 2017.
Komen