Selepas tiga hari, jumlah kes pulih Covid-19 atasi jangkitan baharu


Ravin Palanisamy

Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada angka jangkitan baharu yang dilaporkan hari ini, 435 kes atau 35.4% daripada jumlah hari ini dicatatkan di Selangor, diikuti Sabah dengan 333 kes dan Kuala Lumpur dengan 131 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2020.

SELEPAS tiga hari berturut-turut melaporkan lebih banyak kes Covid-19 baharu daripada kes yang pulih, Malaysia hari ini melaporkan 1,309 kes pulih berbanding 1,229 kes baru.

Jumlah kes pulih di negara ketika ini adalah sebanyak 69,393 atau 83.1% daripada jumlah keseluruhan kes di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada angka jangkitan baharu yang dilaporkan hari ini, 435 kes atau 35.4% daripada jumlah hari ini dicatatkan di Selangor, diikuti Sabah dengan 333 kes dan Kuala Lumpur dengan 131 kes.

“344 Atau 79.1% kes di Selangor dicatat dalam kluster dan pengesanan kontak rapat Covid-19,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang enam hari berturut-turut, Selangor-Sabah-Kuala Lumpur menjadi tiga negeri teratas yang mencatat kes tinggi setiap hari.

Dalam pada itu, Malaysia hari ini mencatat empat kes kematian, menjadikan jumlah keseluruhan korban menjadi 415 atau 0.50% daripada jumlah kes.

Dua mangsa meninggal dunia di Selangor, dan satu masing-masing di Negeri Sembilan dan Kelantan.

Tiga kes, termasuk pesakit tertua memiliki sejarah penyakit kritikal, sementara mangsa termuda yang berusia 29 tahun tidak mempunyai sebarang penyakit.

Jumlah kes aktif di negara kini mencatat angka 13,677. 115 pesakit pula dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 65 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.– 13 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen