PEMUDA Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang mahu pemimpin mereka kembali ke meja rundingan bersama parti pembangkang lain untuk membentuk kerjasama baharu bagi meraih keyakinan rakyat.
Gesaan itu antara lain disuarakan Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Ithin yang kecewa melihat kegagalan blok pembangkang menolak belanjawan di peringkat dasar dan jawatankuasa.
Katanya, pemimpin Amanah, PKR dan DAP dalam PH perlu berunding semula dengan Warisan, Upko, PSB, Muda dan Pejuang bagi membentuk kerjasama baharu.
“Sekali gus (ia bagi) mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kekuatan sebenar parti-parti pembangkang.
“Situasi semasa memerlukan pembangkang yang kuat, serta boleh diharapkan untuk membawa hasrat dan keinginan rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Shazni juga berkata, pembangkang perlu bersatu dengan menolak perbalahan dan membina momentum baharu jika benar-benar ingin menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional.
“Setakat hari ini, belum ada lagi mana-mana peruntukan kementerian yang mampu ditolak di peringkat jawatankuasa.
“Bahkan pada setiap sesi undi belah bahagi, PH dan pembangkang lainnya hanya mencapai lingkungan angka antara 95 ke 97 sahaja.
“Sungguhpun kegagalan ini memedihkan ketika rakyat umumnya meletakkan harapan besar agar belanjawan ini ditolak, kita optimis bahawa momentum dan kekuatan baharu itu boleh dibina,” katanya.
Shazni menambah, ia dapat dilakukan jika pembangkang menumpukan kepada usaha menewwaskan kerajaan PN memandangkan PN tidak mampu membebaskan rakyat dari keperitan akibat pandemik,
Turut menyokong desakan tersebut Naib Ketua Pemuda DAP Muhammad Shakir Amir yang berkata pembangkang perlu mengenepikan sentimen untuk berkerjasama dan bersatu semula.
“Ini bukan formula baru pembangkang kena kerjasama. Suka ke atau tidak suka kita kena buat juga.
“Dulu kita kerjasama dengan PAS walaupun berlainan ideologi lepas itu dengan Bersatu Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
Shakir berkata, rangka strategi menghadapi pilihan raya perlu disegerakan dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim perlu mengambil peranan lebih besar untuk mengetuainya.
“Bagi saya Anwar Ibrahim tak hanya perlu jadi ketua pembangkang untuk PH saja tapi kena jadi untuk semua.
“Kita kena kerjasama PH sebagai blok pembangkang paling besar kena cari jalan berunding semula dengan Pejuang, Warisan, Muda, ahli Parlimen bebas kalau kita nak pergi jauhlah.
“Sebab kita takkan pergi jauh kalau tidak bersatu,” katanya.
Kesepakatan dalam Pakatan Harapan dipersoalkan selepas pembangkang gagal menolak Belanjawan 2021 di peringkat dasar di Dewan Rakyat pada 26 November lalu.
Ia berikutan arahan Anwar di saat akhir supaya membiarkan Belanjawan 2021 tidak ditentang di peringkat tersebut, walau diputuskan sebaliknya oleh Majlis Presiden PH sehari sebelumnya.
Arahan saat akhir Anwar di Dewan Rakyat mencetuskan kekeliruan apabila pada masa sama, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar dari Amanah mengusulkan undian secara belah bahagi.
Enam ahli parlimen Amanah menyokong undi belah bahagi bersama empat wakil rakyat Pejuang diketuai Dr Mahathir dan masing-masing seorang dari DAP, PKR dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Anwar kemudian dilaporkan meminta rakan parti politiknya memberi peluang untuk beliau mengotakan janjinya menumbangkan kerajaan PN dalam tempoh tujuh hari selepas itu.
Sehingga minggu lalu, belanjawan untuk hampir kesemua 27 kementerian sudahpun diluluskan di peringkat jawatankuasa Dewan Rakyat.
Beberapa undi belah bahagi yang dilancarkan di peringkat berkenaan tidak berjaya menyekat belanjawan diluluskan, antara lain disebabkan ketidakhadiran ahli Parlimen pembangkang.
Lapan ahli Parlimen Warisan termasuk presidennya Shafie Apdal tidak hadir sepanjang perbahasan di peringkat jawatankuasa, yang ditafsir sebagai satu isyarat terhadap kepemimpinan Anwar.
Satu lagi halangan kerjasama itu adalah masalah hubungan di antara Anwar dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini memimpin Pejuang.
Peralihan kuasa Dr Mahathir kepada Anwar seperti yang diuar-uarkan akan berlaku pada tahun ini tidak menjadi kenyataan apabila PH hilang kawalan ke atas Putrajaya pada Februari lalu.
Kerjasama yang diteruskan gabungan pembangkang tersebut selepas itu juga tidak berhasil apabila Dr Mahathir menolak Anwar menjadi calon perdana menteri.
Beberapa kenyataan yang timbul di antara kedua-duanya sejak akhir-akhir ini juga tidak menggambarkan hubungan mesra yang mampu menyuburkan kerjasama.
Namun pemimpin muda pembangkang seperti Shazni Munir berkata beliau yakin cadangan kerjasama melibatkan PKR dan Pejuang tidak akan menimbulkan masalah.
“Kami yakin asalkan sahaja PH bersatu hati dalam menggerakkan agenda bersama, rundingan dengan sesiapa sahaja
“Apatah lagi sesama parti-parti pembangkang tidak akan menjadi satu masalah,” katanya.
Ketua Penaja Pejuang Muda Abu Hafiz Salleh Hudin pula berpendapat usaha membawa Pejuang ke meja rundingan bersama PKR akan memerlukan campur tangan Amanah dan DAP.
Katanya, perbalahan antara PKR dan Pejuang mungkin menyebabkan keadaan sukar namun ia boleh diredakan dengan penglibatan Amanah dan DAP.
“Kami cuba untuk beri ruang kepada Amanah DAP untuk mereka terokai peluang yang ada.
“Dengan pertelingkahan perbalahan antara PKR dan Pejuang terutama Pemuda PKR kami fikir pihak kami tidak sesuai untuk sepentas dengan pihak Pemuda PKR.
“Jadi saya kira sahabat saya Amanah dan dan DAP akam mulakan perbincangan tersebut atau sekiranya mereka sudah mula,” katanya.
Tambahnya blok pembangkang mempunyai kelebihan kerana hanya kurang empat kerusi berbanding PN namun kerana tidak bersatu, mereka gagal untuk menumbang kerajaan.
“Keadaan berlaku di dalam dan di luar Dewan Rakyat sangat merugikan barisan pembangkang apabila tidak mampu membuat keputusan yang sekata dan mampu mengugat kerajaan ketika ini.
“Sekurangnya apa yang berlaku amat molek untuk semua pihak sekali berbincang untuk wujudkan pembangkang yang bersatu semula, katanya.
Beliau juga berharap rundingan untuk membentuk kerjasama baharu antara blok pembangkang itu mengetengahkan pemimpin muda untuk reformasi parti.
“Kita hormati keberadaan pemimpin terdahulu Anwar, Dr Mahathir, (Presiden Amanah) Mohamad Sabu, (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng, (penasihat DAP) Lim Kit Siang.
“Tapi kita ingat dalam keadaan ini perlunya dalam keadaan ini kita meminta mereka jadi penasihat utama tatkala pemimpin pelapis baharu baharu,” katanya.
Namun ahli Parlimen lain seperti Mukhriz Mahathir, Salahuddin Ayub, Anthony Loke dan tokoh muda lain dari DAP perlu ke hadapan untuk rundingan kerjasama seperti dalam PRU14, katanya. – 14 Disember, 2020.
Komen