PAS telah mendapat jemputan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berikutan permohonan parti itu untuk menjelaskan tindakannya semasa krisis politik melanda negeri itu baru-baru ini, kata Hadi Awang
Presiden PAS itu bagaimanapun enggan menjelaskan butiran ketika ditanya bilakah parti itu akan mengadap sultan.
Beberapa hari kebelakangan ini PAS diserang hebat kerana dilihat tidak menghormati sultan berikutan kemelut politik Perak.
“Kami telah hantar surat rasmi dan kami sudah terima jawapan.
“Apabila tiba waktunya, kami akan pergi,” kata ahli Parlimen Marang itu semasa sidang media khas hari ini.
Minggu lalu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, tiga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu tidak akan bertemu dengan Sultan Nazrin di Istana Kinta di Ipoh bagi mencari jalan keluar krisis politik di negeri itu.
Beliau pertemuan dengan sultan dibatalkan susulan arahan kepimpinan pusat parti tersebut.
Razman berkata mereka akan bertemu Sultan Nazrin apabila ada arahan untuk melakukannya dari kepimpinan parti.
Namun, keputusan itu mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak. PAS juga turut dilabel sebagai parti yang tidak menghormati sultan.
Berikutan kritikan orang ramai, Razman kemudian mengeluarkan kenyataan permohonan maaf di samping menambah bahawa parti itu akan terus menegakkan institusi Kesultanan Perak dan akan tetap setia kepada Sultan Nazrin.
“Kami dengan rendah hati memohon maaf kepada Sultan Perak atas kesalahan kami yang tidak hadir mengadap ketika baginda memanggil kami pada hari Selasa, 8 Disember jam 3 petang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS Perak.
Organ penerangan parti itu, Harakahdaily turut mendapat kritikan hebat kerana menyiarkan berita yang dilihat tidak beradab terhadap sultan Perak.
PAS kembali terlibat dalam pentadbiran negeri Perak selepas bergabung dengan Bersatu bagi membentuk kerajaan negeri bersama Umno. – 13 Disember, 2020.
Komen