MALAYSIA merekodkan 1,973 kes jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, angka ketiga tertinggi kes harian sejak pandemik itu melanda negara.
Kes paling tinggi dicatatkan pada 10 Disember dengan 2,234 kes disusuli 2,188 kes pada 24 November.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka keseluruhan kes jangkitan kini mencecah 82,246.
Selangor mencatatkan kes paling tinggi hari ini dengan 823 kes atau 42.5% daripada keseluruhan kes.
Sabah berada di tempat kedua tertinggi dengan 429 kes disusuli Kuala Lumpur 238 kes.
“Di Selangor, 714 atau 82.6% kes melibatkan kluster yang sedia ada dan dikesan menerusi pengesanan kontak,” katanya.
Selangor, Sabah dan Kuala Lumpur kini mencatatkan kos harian tertinggi selama empat hari berturut-turut.
Sembilan kematian turut dicatatkan hari ini, menjadikan keseluruhan korban meningkat kepada 411.
Lapan kematian melibatkan pesakit lelaki dengan empat daripadanya di Sabah, tiga di Johor dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Selangor.
Bagi kes pulih, 911 pesakit dibenarkan keluar hospital, menjadikan keseluruhan kes pulih sebanyak 68,084.
Terdapat 13,751 kes aktif buat masa ini dengan 121 daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi manakala 66 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan. – 12 Disember, 2020.
Komen