Jadikan kemelut Perak asas gabungan parti lebih erat, kata Bersatu


Eddin Syazlee Shith berkata, krisis itu menyerlahkan kerjasama antara BN dan PN, sehingga mampu menyelesaikan kemelut itu dengan harmoni. – Gambar Facebook, 12 Disember, 2020.

PEMIMPIN politik perlu menjadikan kemelut yang melanda kerajaan Perak baru-baru ini, sebagai iktibar dan asas kepada pembentukan gabungan parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang lebih erat.

Pengerusi Parti Bersatu Negeri Sembilan Eddin Syazlee Shith berkata, ia bagi mengelakkan wujudnya suasana kurang senang atau salah faham, yang akhirnya menjejaskan hubungan baik antara parti-parti dalam gabungan berkenaan.

“Kita tidak melihat apa (yang berlaku) di Perak itu sebagai krisis yang besar sebab itu adalah soal pilihan dalam hidup, kita membuat pilihan dan kita menentukan pilihan itu berdasarkan rasional atas sesuatu keputusan yang dibuat.

“Ya, sudah tentulah kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan saya percaya banyak hikmah akan dapat dipelajari,” katanya kepada pemberita selepas menerima borang keahlian daripada 800 ahli Penggerak Komuniti Negara di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, krisis itu juga menyerlahkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PN, sehingga mampu menyelesaikan kemelut itu dengan harmoni, sekali gus mengekalkan kerajaan PN di Perak.

Dalam pada itu, ditanya mengenai isu pembahagian kerusi antara parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang, Eddin Syazlee berkata pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan pusat untuk membuat keputusan.

Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, perkara itu masih belum dibincangkan di peringkat negeri memandangkan ia masih terlalu awal.

“Saya percaya di peringkat pusat ia sedang diusahakan pucuk pimpinan, di pihak negeri, kita akan berbincang mengikut kesesuaian,” katanya. – Bernama, 12 Disember, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen