KOREA Selatan merekodkan jumlah kes baharu Covid-19 tertinggi dengan peningkatan kes mendadak di ibu negara, sekali gus mencetuskan kebimbangan negara itu tidak mampu mengekang penularan wabak itu.
Sebanyak 950 kes baharu direkodkan hari ini selepas purata kes yang dicatatkan antara 500 hingga 600 sejak beberapa hari lepas.
Seoul sahaja mencatatkan 669 kes dan situasi itu membangkitkan kebimbangan penularan secara mendadak di kawasan penduduk yang padat.
Kerajaan menambah lagi 150 pusat ujian saringan di kawasan yang padat termasuk di stesen kereta api.
Kebanyakan kes dikesan dengan kluster gereja dan hospital di Seoul selain aktiviti perkumpulan yang menyebabkan peningkatan kes secara mendadak.
Pertambahan kes itu berlaku walaupun kerajaan mengetatkan peraturan penjarakan sosial di ibu negara pada awal minggu ini.
Antaranya larangan berkumpul melebihi 50 orang dan kehadiran penonton di pertandingan sukan.
Kafe hanya dibenarkan menjual hidangan bawa pulang manakala restoran perlu ditutup sebelum malam.
Secara keseluruhannya, Korea Selatan mencatatkan lebih 38,600 kes Covid-19 setakat ini. – AFP, 12 Disember, 2020.
Komen