AS lulus vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech


FDA akhirnya memberi kebenaran untuk penggunaan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech kepada penduduk AS. – Gambar AFP, 12 Disember, 2020.

AMERIKA Syarikat (AS) memberi kebenaran kepada vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada Jumaat, membolehkan ia digunakan di seluruh negara, dengan Presiden Donald Trump menjanjikan imunisasi pertama bakal diberi dalam tempoh kurang 24 jam.

“Saya meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech untuk pencegahan Covid-19,” tulis Denise Hinton, ketua saintis Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS (FDA) dalam surat kepada eksekutif Pfizer.

Presiden Trump segera menyiarkan video di Twitter dengan memuji perkembangan itu.

“Vaksin pertama akan diberikan dalam tempoh kurang 24 jam,” kata Trump. 

“Melalui kerjasama kami dengan FedEx dan UPS, kami sudah mulai menghantar vaksin ke setiap negeri di negara ini,” katanya, sambil menambah yang gabenor akan memutuskan siapa akan menerima suntikan terlebih dahulu di negeri mereka.

AS kini menjadi negara keenam meluluskan rejim dua dos ini, selepas Britain, Bahrain, Kanada, Arab Saudi dan Mexico.

Langkah itu diambil susulan jangkitan di negara paling teruk dilanda dunia melambung, menghampiri 300,000 kematian.

AS kini akan melakukan operasi logistik yang kompleks untuk menghantar jutaan dos ke hospital, klinik, farmasi dan kemudahan rawatan jangka panjang di seluruh negara.

Pengagihan itu dipantau oleh seorang jeneral tentera sebagai sebahagian daripada Operation Warp Speed, tetapi dikendalikan oleh rakan kongsi sektor swasta seperti FedEx yang menggunakan kotak khas untuk menguruskan keperluan penyimpanan sejuk vaksin -70 darjah Celsisus (-94 darjah Fahrenheit).

Keputusan itu adalah kemenangan bukan hanya untuk syarikat gergasi farmasi Amerika Pfizer dan rakan kongsinya yang lebih kecil dari Jerman, BioNTech, tetapi juga bagi teknologi mRNA (asid ribonukleat messenger) yang menjadi asas kepada penghasilan vaksin.

Vaksin tradisional biasanya bergantung kepada penggunaan mikrob penyebab penyakit yang lemah atau tidak aktif.

Teknologi baharu memberikan arahan genetik kepada sel manusia untuk mengeluarkan protein permukaan virus SARS-CoV-2.

Ia mensimulasikan jangkitan dan menyiapkan sistem imun sekiranya dijangkiti virus sebenar.

Pembangunan vaksin ini lebih pantas berbanding pendekatan tradisional. Tetapi kelemahannya adalah molekul mRNA, yang dibaluti zarah lemak, harus disimpan pada suhu sangat sejuk.

AS berharap dapat memberi vaksin kepada 20 juta orang bulan ini, dengan berharap vaksin kedua, yang dibangunkan Moderna dan National Institutes of Health, akan lulus minggu depan.

Vaksin kedua ini juga berdasarkan mRNA.

Petugas penjagaan kesihatan dan penghuni di kemudahan rawatan jangka panjang bakal menerima suntikan paling awal. – AFP, 12 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen