PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pada Jumaat yang perayaan Krismas akan berukar menjadi “tangisan” jika gagal mematuhi langkah pencegahan Covid-19.
Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata jumlah kematian akibat wabak koronavirus semakin meningkat dan menggesa orang ramai berfikir dengan teliti mengenai rancangan percutian mereka.
“Musim perayaan adalah masa untuk bersantai dan meraikan tetapi ... perayaan boleh bertukar menjadi kesedihan jika kita gagal mengambil langkah berjaga-jaga yang betul,” katanya pada sidang akhbar.
“Ketika anda bersiap untuk merayakannya beberapa minggu nanti, sila pertimbangkan rancangan anda dengan berhati-hati. Jika anda tinggal di daerah dengan jangkitan yang tinggi, harap mengambil segala langkah pencegahan untuk memastikan diri anda dan orang lain selamat.
“Itu mungkin hadiah terbaik yang boleh kamu berikan - hadiah kesihatan.”
Tedros berkata terdapat peningkatan kematian sebanyak 60% di seluruh dunia akibat penyakit pernafasan selama enam minggu terakhir.
Namun, beberapa benua menyaksikan peningkatan jumlah kematian lebih tinggi berbanding yang lain, kata Maria Van Kerkhove, ketua teknikal WHO berhubung Covid-19.
Beliau berkata terdapat peningkatan hampir 100% dalam jumlah kematian setiap minggu di wilayah Eropah selama enam minggu terakhir, peningkatan 54% di Amerika dan 50% di Afrika.
“Virus ini masih berlegar. Sebahagian besar dunia masih berisiko,” katanya.
Sementara itu Michael Ryan, pengarah kecemasan WHO berkata virus itu masih belum berubah menjadi pola yang dapat diramalkan.
“Keadaan di peringkat global masih sangat tidak stabil secara epidemiologi,” katanya.
Selepas Britain mula melancarkan vaksinasi awam terhadap virus koronavirus minggu ini, Tedros berkata pengeluaran ubat selamat dan berkesan terhadap penyakit yang sama sekali tidak diketahui setahun yang lalu adalah “pencapaian saintifik luar biasa”.
Beliau berkata hampir satu bilion dos bagi tiga calon vaksin dijamin sebagai sebahagian daripada kemudahan COVAX. – AFP, 12 Disember, 2020.
Komen