Peruntukan tambahan perlu pulihkan sektor pelancongan Sabah


Peruntukan tambahan diperlukan untuk memulihkan semula sektor pelancongan di Sabah yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 10 Disember, 2020.

MENTERI Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berpendapat peruntukan tambahan diperlukan untuk memulihkan semula sektor pelancongan negeri yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata peruntukan tambahan itu bagi melaksanakan publisiti serta menarik semula pelabur dan syarikat penerbangan untuk beroperasi di negeri itu.

“Usaha pemulihan semula pertumbuhan sektor ekonomi termasuklah sektor pelancongan bukanlah mudah dan memerlukan masa. Pemulihan sektor itu juga memerlukan perancangan teliti, menyeluruh serta masa yang praktikal untuk dicapai dan sudah pasti memerlukan jumlah kos yang besar.

“Berdasarkan maklumat diterima daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, kerajaan telah memperuntukkan RM25 juta setahun kepada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi merancakkan semula usaha mempromosi sektor pelancongan,” katanya.

Masidi yang juga bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah peruntukan sebenar yang diperlukan untuk membangunkan semula industri pelancongan negeri dalam sidang media harian Covid-19 hari ini.

Menurut Masidi walaupun bukan tugas mudah untuk menganggarkan peruntukan sebenar yang diperlukan namun kementerian pelancongan negeri sedang menyediakan anggaran peruntukan yang diperlukan melalui Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan di bawah STB, katanya.

Dalam perkembangan lain, Masidi menafikan mesej tular di media sosial kononnya seluruh Donggongon, Penampang, ditutup dua hari bermula esok.

Masidi berkata mesej itu tidak benar dan orang ramai perlu menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsikan di media sosial bagi membendung penularan berita palsu berkaitan Covid-19. – Bernama, 10 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen