6 kluster baharu Covid-19 menyumbang kepada 503 kes 


Noel Achariam

Kluster D'Bajaru di Sabah merekodkan 133 kes baharu Covid-19 hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 11 Disember, 2020.

ENAM kluster baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kluster aktif di negara ini kepada 190, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kluster terbabit dikesan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Ia menyumbang 503 daripada 1,810 kes jangkitan baharu hari ini.

48 daripada semua kluster aktif melaporkan peningkatan kes hari ini.

Kluster yang merekodkan jumlah kes tertingg adalah kluster Sungai Putus di Selangor (369 kes), kluster Rumah Merah (150 kes) dan kluster D’Bajaru (133 kes) di Sabah.

Kluster Sungai Putus merupakan salah satu daripada enam kluster yang dikenal pasti hari ini yang melibatkan kilang di daerah Klang, Selangor.

Dalam kluster ini, 2,001 individu telah disaring dan 427 daripadanya didapati positif.

Kluster baharu lain di Selangor adalah kluster Erima di Gombak, yang mana kes indeks dikesan menerusi ujian saringan bergejala. Ujian saringan 83 pekerja dan kontak rapat setakat ini mendapati 28 lagi kes positif.

Dalam kluster Jalan Berangan di tapak pembinaan Kuala Lumpur, enam orang disahkan positif daripada 1,246 individu yang disaring. Kes indeks dikesan menerusi ujian saringan di tempat kerja secara bersasar.

Sementara itu, kluster Jalan College merangkumi Seremban di Negeri Sembilan dan Petaling di Selangor. 35 individu telah disaring setakat ini dan 11 daripadanya didapati positif.

Kluster Langkasuka di Johor tersebar di Kulai dan Johor Bahru, dan kluster tempat kerja yang mana 113 individu disaring dan 14 didapati positif.

Kluster terbaharu di Pulau Pinang dikenali sebagai kluster Sungai Keluang menular di daerah Timur Laut dan Barat Daya, dan juga Seberang Perai Utara dan Selatan.

Kluster itu berpunca daripada individu yang dikesan positif menerusi ujian saringan selepas kembali dari negara mereka. Sejumlah 99 individu telah diperiksa hingga kini, dengan 16 orang dikesan positif.

Dr Noor Hisham juga berkata 217 kelompok telah tamat. Ini termasuk kluster Taman Laut di Selangor, kluster BMU di Melaka dan kluster Ikhtisas di Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan. – 11 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen