PENDAKWAAN kes rasuah Rosmah Mansor melibatkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah di kawasan luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion menutup kesnya selepas 33 hari perbicaraan berlangsung.
Pendakwaan menutup kes selepas bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid yang merupakan saksi kelima perbicaraan dipanggil semula untuk diperiksa balas oleh peguam bela hari ini.
Mahdzir disoal oleh peguam Rosmah mengenai perkara berkaitan beberapa harta; suratnya kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak, yang juga menteri kewangan ketika itu, untuk memberikan pengecualian khas kepada Jepak Holdings Sdn Bhd, kontraktor untuk projek solar; dan pengetahuannya mengenai perubahan dan pemalsuan kontrak oleh syarikat tersebut.
Rosmah didakwa meminta RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsuddin sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek hibrid solar di Sarawak.
Beliau turut didakwa menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Abang Saidi pada 2016 dan 2017.
Rosmah diwakili Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kadir manakala pendakwaan diketuai oleh Gopal Sri Ram.
Sri Ram juga mengatakan bahawa pihak pendakwaan akan menawarkan 10 saksi kepada pihak pembelaan sekiranya pembelaan dipanggil.
Suami Rosmah, Najib merupakan antara 10 yang tersenarai.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian mengarah pasukan peguambela menyerahkan hujah bertulis sebelum 28 Disember. Sementara, pihak pendakwaan akan mengemukakan hujah bertulis sebelum 4 Januari 2021.
Zaini turut menetapkan 10 Februari 2021 mendengar hujah lisan pendakwaan dan pembelaan. – 11 Disember, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen