Bersatu adakan AGM 30 Disember elak isu dengan RoS


Bede Hong

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berkata mesyuarat agung tahunan pertama parti itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Disember, 2017.

BERSATU akan tetap mengadakan perhimpunan agungnya (AGM) pada 30 Disember ini bagi mengelak sebarang kemungkinan dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Mesyuarat agung tahunan yang pertama itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam, kata Timbalan Presidennya, Mukhriz Mahathir.

Jelas Mukhriz, mesyuarat agung sebelum akhir tahun itu akan memenuhi peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan parti.

Katanya, perhimpunan agung itu adalah sebagai menjawab komentar Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim pada 25 November lalu bahawa Bersatu boleh dibatalkan sekiranya gagal menyelesaikan masalah dalaman dan mengadakan mesyuarat agung sebelum akhir tahun.

“Apabila beliau bercakap di Johor (pada 25 November), seolah-olah beliau merujuk kepada peruntukan bahawa kami mesti mengadakan mesyuarat pada tahun ini,” katanya pada sidang media di pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

The Malaysian Insight kelmarin melaporkan Bersatu akan mengadakan mesyuarat agungnya yang pertama pada 30 Disember ini, selepas menghantar tiga pucuk surat makluman kepada RoS yang bagaimanapun tidak mendapat sebarang balasan.

“Berdasarkan perlembagaan, mesyuarat itu mesti diadakan setahun sekali. Jadi kami beranggapan apa yang beliau maksudkan ialah dalam tahun ini mesti ada satu mesyuarat,” tambah Mukhriz.

“Jadi kami putuskan, tidak perlu bertangguh-tangguh. Kita teruskan saja pada 30 Disember ini.”

Menurut Mukhriz, perhimpunan agung itu akan dihadiri oleh 990 perwakilan dari 137 bahagian. Bersatu berhasrat membentuk keseluruhan 196 bahagian di seluruh negara.

Mukhriz turut mendedahkan masalah yang dihadapi oleh Bersatu dengan RoS ialah soal tafsiran berhubung penubuhan parti itu.

Beliau turut mendedahkan kesulitan yang dihadapi oleh Bersatu sepanjang berurusan dengan RoS untuk mengesahkan pendaftarannya. – 22 Disember, 2017.

[Berita penuh di sini]


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen